Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan berita pemain tengah pasukan bola sepak Denmark, Christian Eriksen yang rebah di tengah padang. Menurut doktor pasukan itu, Eriksen sempat mengalami keadaan jantung terhenti yang membuatkan dia ‘pergi’ seketika.
“Dia telah tiada pada awalnya,” kata doktor pasukan Denmark, Morten Boesen, kepada The Guardian.
“Kami cuba menyedarkan dia dan dia kembali. Adakah kita hampir kehilangan dia? Saya tak pasti, tapi kami berjaya ‘kembalikan’ dia selepas sekali percubaan (defibrillation), dan itu agak cepat,” tambah Boesen.
“Eriksen masih menjalani beberapa siri ujian untuk mengetahui punca sebenar. Tapi buat masa sekarang dia telah sedar dan mampu menjawab dengan jelas. Jantungnya berdetak kembali dan ujian setakat ini menunjukkan hasil yang baik. Namun, kami tiada penjelasan lanjut setakat ini,” jelas Boesen.
Eriksen yang dilaporkan rebah di gelanggang pada separuh masa pertama menentang Finland dalam perlawanan Euro 2020, dipercayai mengalami Cardiac Arrest atau jantung berhenti berfungsi.

Keadaan jantung terhenti yang sempat dialami Eriksen ini turut terjadi kepada 356 ribu orang di Amerika Syarikat setiap tahun. Lebih membimbangkan lagi, angka tersebut merupakan kejadian diluar hospital di mana bantuan perubatan lengkap mungkin tiada ketika itu.
Cardiac arrest ini merupakan keadaan di mana jantung gagal berfungsi. Jantung gagal berdetak secara normal dan kemudian berhenti.
Sekiranya perkara ini terjadi, bantuan cardiopulmonary resuscitation (CPR) perlu diberikan segera untuk mengembalikan detak jantung mangsa dan mengelakkan kehilangan nyawa.
Sumber: The Guardian, heart.org