Seekor monyet dilihat memegang bayi monyet yang mati di Takungan MacRitchie pada Sabtu lepas (12/06/2021). Pemandangan yang memilukan itu ditangkap oleh seorang jurugambar, Dennis Chan, dan dimuat naik ke Facebook.
Menurut portal Mothership, monyet dewasa, yang dipercayai ibu kepada bayi monyet itu dilihat memegang bayinya yang tidak bernyawa di lengannya.
Kejadian ini telah disaksikan oleh Chan pada pukul 11 pagi ketika menangkap gambar hidupan liar dan burung-burung.
Jelas Chan, “Monyet betina berekor panjang itu masih memegang tubuh bayi yang tidak bernyawa dan saya percaya bahawa ia masih menganggap bayi itu masih hidup. Ia bahkan berusaha untuk menghalau lalat yang mulai menghurung bayi malang itu.”
Dilaporkan, setelah beberapa ketika, monyet dewasa yang mengangkat mayat bayi itu akhirnya meletakkannya semula di tanah.
Chan mengatakan bahawa dia memerhatikan anak beranak itu kira-kira selama setengah jam dan akhirnya dia beredar.
Monyet dikatakan merupakan haiwan yang bertindak balas secara individu atau berkumpulan sekiranya ada kematian dalam kumpulan monyet. Monyet dewasa dipercayai akan membawa mayat bayi mereka di sekitar jalan seolah-olah untuk mengatasi kesedihan.
Sumber: Mothership.sg