Seorang lelaki dari Bangkok, Thailand menjadi tular selepas dia berkongsikan transformasi yang luar biasa di mana dia kehilangan 81kg dalam masa hanya setahun sahaja.
Pada 6 Jun lalu, seorang lelaki bernama Nes Chedtragull berkongsikan kisahnya dalam Facebook dan menyatakan bahawa dia menghidapi obesiti sejak dari kecil lagi.
Ketika dia memulakan transformasinya itu, beratnya telah mencecah sebanyak 156kg. Dia menyatakan bahawa dia mula mengamalkan pemakanan yang sihat dan berjalan selama satu hingga dua jam sehari.
Setelah setahun berlalu, berat badan Nes dilaporkan menurun menjadi 75kg.
Nes juga berkongsikan beberapa gambar sebelum dan selepas transformasinya, dengan ada sebilangan gambarnya itu menunjukkan dirinya kini memakai seluar lamanya.
Dalam catatan Facebooknya yang lain, Nes berkongsikan bahawa dia memulakan transformasinya itu pada bulan Ogos 2019. Selain mengamalkan pemakanan yang sihat dan berjalan kaki setiap hari, dia juga berbasikal di rumahnya setiap hari, termasuk pada cuti umum.
Pada akhir tahun 2020, Nes dilaporkan telah kehilangan berat badan secara drastik dan sejak itu dia berjaya mengekalkan kecergasannya.
Nes menasihati mereka yang ingin menurunkan berat badan supaya memilih kaedah yang paling sesuai untuk mereka, baik berenang, berbasikal, berjalan, berlari, atau pergi ke gim.
“Makanan adalah salah satu faktor utama yang menentukan kesihatan anda. Sihat secara fizikal itu adalah sangat penting,” katanya.
Sebelum perkongsiannya itu menjadi tular, Nes telah berkongsikan video senaman yang dilakukannya iaitu berbasikal, push-up dan hula hooping.
“Kesihatan fizikal sangat penting. Jangan lupa mengingatkan ahli keluarga anda untuk menjaga kesihatan mereka,” katanya.
Sumber: Indo Zone