Tular beberapa rakaman video dari orang awam di media sosial yang memaparkan tindakan nekad seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 11 kerana dilaporkan ingin membunuh diri.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara hari ini (15 Jun 2021).
Menurut akhbar Kosmo, lelaki yang merupakan warga tempatan berusia 25 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana tekanan emosi akibat ketiadaan pekerjaan dan kesusahan hidup.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai menyatakan bahawa pihaknya dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut pada pukul 11 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang di sini untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Ipoh bertindak sedemikian kerana tekanan emosi,” memetik laporan Kosmo.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati bahawa mangsa menumpang di rumah rakannya di PPR tersebut.
Berhubung kejadian itu, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.
Justeru daripada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta untuk menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206.
Sumber: Kosmo!