Dakwaan menggunakan data peribadi seseorang untuk didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) secara automatik tanpa kebenaran individu tersebut adalah tidak benar.
RELA menerusi satu kenyataan sebaliknya menegaskan, pendaftaran sebagai anggota RELA adalah seperti yang termaktub dalam Seksyen 7 (1), Pendaftaran Sebagai Anggota RELA, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) 2012.
“Seseorang yang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota angkatan tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada ketua pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota RELA,” maklum kenyataan tersebut mengenai akta berkenaan.
Dalam pada itu, Seksyen 5 (1) Akta Kuasa-kuasa Perlu Darurat 1964 Peraturan-peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) pula menjelaskan,
“Kecuali diperuntukkan kemudiannya setiap seorang lelaki yang telah mencapai umur 18 tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat,” jelas akta tersebut.
Difahamkan, perbuatan sebegitu juga bercanggah dengan perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 6 (1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Justeru, kegusaran orang ramai mengenai pendaftaran tersebut diambil perhatian dan tindakan sewajarnya bagi menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa turut dijalankan.
“RELA tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
“(Selain itu) RELA juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan,” tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun program pemutihan tersebut digantung buat sementara waktu rentetan RELA kini sedang menumpukan usaha membantu kerajaan melawan pandemik COVID-19.
Mana-mana orang awam yang didapati dirinya telah didaftarkan sebagai anggota RELA dan ingin menamatkan atau membatalkan keanggotaan tersebut boleh hubungi 03-8870 3770 atau [email protected].
Sumber: RELA Malaysia