Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kuala Gula-Matang Masih Relevan Menjadi Tapak Ramsar Kelapan Negara

IPOH, 16 Jun (Bernama) — Selepas tergendala hampir 20 tahun, cadangan menjadikan tanah lembap, Kuala Gula-Matang sebagai Tapak Ramsar kelapan negara kini kembali disuarakan, terutama dalam kalangan pencinta alam sekitar.

Tujuannya tidak lain, untuk memastikan kepelbagaian biodiversiti terutama hidupan marin dapat terus dipelihara, daripada sebarang aktiviti pembangunan yang akan merosakkan habitat dan keindahan alam semula jadi di sini.

Apatah lagi, cadangan yang pernah disuarakan bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Tajol Rosli sekitar tahun 2002 itu, dilihat masih lagi relevan untuk direalisasikan, berikutan kawasan ini memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai tapak berkepentingan antarabangsa bagi ekopelancongan dan pendidikan.

Selepas beberapa kawasan dalam negara telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar sejak 1994 dengan pertamanya di Tasik Bera, Pahang, usaha menjadikan Kuala Gula-Matang amat perlu dijadikan kenyataan demi kelestarian alam di sini, menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail.

“Sekiranya direalisasikan, kawasan Kuala Gula-Matang akan dapat meningkatkan kepelbagaian biologi ekosistem pantai, serta menambah pendapatan penduduk tempatan yang kebanyakannya adalah nelayan,” katanya kepada Bersama.

Terletak kira-kira 50 kilometer dari Barat Laut Taiping dan sejam perjalanan dari bandar raya Ipoh, Kuala Gula-Matang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang, yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur, dengan memiliki lebih kurang 160 spesies hidupan.

Lebih istimewa, di sini menjadi ‘syurga’ buat peminat dan pemerhati burung, yang datang setiap tahun untuk menyaksikan ribuan burung migrasi yang singgah, terutamanya sekitar bulan Ogos sehingga April.

Kuala Gula adalah antara 55 kawasan di Malaysia yang dikenal pasti sebagai Kawasan Penting Burung (IBA) atau ‘Important Bird Area’ melalui beberapa kriteria, termasuk penghijrahan burung dari kawasan sejuk dengan tidak kurang 62 daripada 192 spesies burung, singgah mencari makan di sini.

Oleh itu  menurut Ahmad, peranan Malaysia yang merupakan salah satu negara dalam Perkongsian Rangkaian Laluan Burung Hijrah Asia Timur- Australasia (EAAFP) perlu menjadikan Kuala Gula-Matang sebagai Tapak Ramsar.

“Kuala Gula terletak dalam laluan penting burung hijrah pantai dan Malaysia menjadi laluan bagi Laluan Burung Hijrah Asia Timur Australasia (EAAFP), di mana Malaysia menjadi rakan kongsi EAAFP ke-28 sejak 11 Nov 2012.

“Komitmen Malaysia sebagai EAAFP ini perlu dilaksanakan dan menjadikan Kuala Gula-Matang sebagai Tapak Ramsar adalah terbaik,” katanya.

Ini juga selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030, yang menetapkan 17 matlamat yang perlu dicapai termasuk aspek alam sekitar.

Pemahaman mengenai Tapak Ramsar dan fungsinya perlu diberi perhatian, terutamanya melibatkan pembangunan fizikal yang perlu dijauhkan daripada ekosistem pantai, supaya tidak memberi kesan negatif kepada lokasi tersebut.

Justeru beliau berkata, strategi dan komitmen kerajaan negeri harus berubah menjadi lebih kreatif dalam membangunkan kawasan ini, yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan daerah Kerian dan Perak secara keseluruhan.

“Penjagaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi perlu dijalankan serentak. Kuala Gula-Matang mempunyai hutan bakau dan pantai berlumpur yang berkualiti, untuk aktiviti perikanan. Kita tahu pengeluaran kerang juga sangat penting di sini, yang memerlukan penjagaan yang baik.

“Ekosistem bakau dan kualiti habitat di kawasan Kuala Gula-Matang masih baik. Oleh itu, pengurusan kawasan sekitar terutama dari segi pencemaran, hidrologi, pengurusan sisa pepejal dan aktiviti manusia (secara) keseluruhannya perlu dilihat,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia berkata publisiti, pendidikan dan penglibatan semua pihak, amat perlu bagi menerangkan kepentingan Tapak Ramsar kepada masyarakat, agar pemuliharaan alam semula jadi dapat dikekalkan.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika diminta mengulas mengenai cadangan merealisasikan Kuala Gula-Matang sebagai Tapak Ramsar, menyambut baik saranan tersebut, namun ia tertakluk kepada persetujuan kerajaan Negeri Perak.

Beliau dalam satu kenyataan media pada 14 Jun menyatakan, pencalonan Kuala Gula-Matang sebagai Tapak Ramsar bukan sahaja dapat memperkasakan penjanaan ekonomi kerajaan negeri dan penduduk, tetapi akan menarik dana dari dalam dan luar negara, untuk membiayai kajian-kajian dan kepakaran dalam pemuliharaan tanah lembap.

“Sekiranya dipersetujui, pencalonan ini akan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha pemuliharaan tanah lembap, serta menaikkan profil kawasan tanah tersebut sebagai Kawasan Berkepentingan Antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan negeri Perak, untuk mencadangkan kawasan tersebut sebagai Tapak Ramsar. Sekiranya pencalonan ini berjaya, Kuala Gula-Matang akan menjadi Tapak Ramsar pertama di Perak dan Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Konvensyen Ramsar yang ditubuhkan pada 2 Feb 1971 di Bandar Ramsar, Iran, membawa misi untuk memastikan tanah lembap dipelihara dan digunakan secara mampan, melalui tindakan di peringkat tempatan, wilayah dan kebangsaan, serta kerjasama di peringkat antarabangsa ke arah pembangunan lestari.

Malaysia menyertai Konvensyen Ramsar sejak 10 Dis 1994. Buat masa ini, terdapat tujuh kawasan di Malaysia yang disenaraikan sebagai Tapak Ramsar iaitu Tasek Bera di Pahang; Taman Negara Tanjung Piai, Taman Negara Pulau Kukup dan Hutan Simpan Sungai Pulai di Johor; Kuching Wetland National Park Sarawak; Lower Kinabatangan-Segama Wetlands; dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.

Semua tapak ini dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah, sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right