Pasangan kepada wanita yang mengaku telah melahirkan anak kembar sepuluh di Afrika Selatan baru-baru ini dilaporkan tidak percaya kewujudan anak itu.
Lapor Daily Mail, Tebogo Tsotetsi berkata, dia tidak pernah berjumpa pasangannya, Gosiame Sithole atau anak-anak yang diperkatakannya sejak dakwaan itu menjadi tular.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan keluarganya, lelaki itu telah beberapa kali cuba untuk menghubungi Sithole tetapi tidak pernah mengetahui lokasi wanita itu sejak berita kelahiran ‘anak-anak’ berkenaan.
Sebelum ini, Sithole, 37, telah memberitahu teman lelakinya bahawa dia telah melahirkan anak-anak mereka selepas tengah malam pada 8 Jun lalu, lapor Daily Mail.
Bagaimanapun, keluarga Tsosetsi berkata, lelaki itu tidak pernah melihat anak-anak yang dimaksudkan dan hanya bergantung kepada Sithole untuk memaklumkan mengenai kelahiran berkenaan.
“Dia cuba melawat teman wanita dan anak-anak itu beberapa kali, pun begitu wanita berkenaan tidak memberitahu lokasi dan keadaan bayi mereka.”
Jelas keluarga itu, mereka percaya bayi yang dikatakan tidak wujud sehinggalah dibuktikan sebaliknya. Keluarga tersebut turut memohon maaf dan meminta bantuan mencari wanita tersebut.
Tsosetsi sebelum ini meminta orang ramai agar berhenti menyalurkan wang kepada Sithole sehinggalah terbukti bayi dimaksudkan benar-benar wujud.
“Saya hargai sokongan kewangan yang kami terima, tetapi saya juga ingin meminta orang ramai berhenti memasukkan duit ke dalam akaun kami sehinggalah semua melihat bayi-bayi itu,” katanya.
Sebelum ini, pihak hospital yang didakwa menjadi lokasi kelahiran bayi-bayi itu menafikan pernah merawat wanita berkenaan di sana.
Sumber: Daily Mail