Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Kali Terakhir Dilihat 150 Tahun Lalu, Burung ‘Berwajah Kuning’ Dari Spesies ‘Rare’ Ditemui Semula Di UK

Telah banyak hidupan luar di Bumi ini sudah pupus ditelan zaman. Kebanyakannya yang tinggal hanyalah fosil daripada tulang-belulang yang dijumpai di gua, batuan, tanah dan sebagainya.

Namun benua Eropah baru-baru ini dikejutkan dengan ‘kemunculan’ semula burung pemakan bangkai, Hering Mesir setelah kali terakhir dilihat di United Kingdom (UK) pada 150 tahun yang lalu.

Kemunculan kelibat burung Hering Mesir yang mendapat jolokan ‘Ayam Firaun’ itu dikesan di Pulau Peninnis Head di Kepulauan Isles of Scill, berhampiran UK oleh seorang ketua eksplorasi burung, Will Wagtsaff.

Turut diumpamakan sebagai ‘penampakan sekali dalam seabad’, Hering Mesir itu pada asalnya mungkin berasal dari utara Perancis sebelum ‘terlupa’ pulang ke tempat asal ketika bermigrasi.

Dua ekor terakhir sebelum ‘pupus’ di Eropah

Gambar: Daily Mail

Mengimbas kembali, difahamkan hanya dua (2) ekor Hering Mesir yang berjaya dilihat di UK buat kali terakhir, iaitu di Somerset (1825) dan di Essex (1868).

Salah seekornya ditemui oleh seorang peladang di Peldon, Essex (1868) ketika ia sedang memakan angsa belaan peladang tersebut. Berang angsanya dimakan, peladang berkenaan melepaskan tembakan ke kepala hering itu lalu mati.

Manakala seekor lagi Hering Mesir ‘terakhir’ pula dikatakan terbunuh dalam insiden yang serupa selepas kelibatnya dikesan di Bridgwater Bay di Somerset dan Bristol pada 1825.

Wajah kuning, ada tabiat ‘unik’

Gambar: Daily Mail

Hering Mesir mempunyai struktur rupa yang menarik; iaitu memiliki wajah berwarna kuning dan berbulu putih. Uniknya, ia sering mencelupkan kepalanya ke dalam lumpur sebelum menggosokkannya ke sayap dan badan agar kelihatan gelap.

Di Afrika, Hering Mesir menjadikan telur burung unta sebagai salah satu sumber makanannya selain tikus dan reptilia. Disebabkan struktur telur yang tebal, ia terpaksa ‘memegang’ batu menggunakan paruh dan menghentak telur tersebut sehingga pecah.

Difahamkan, Hering Mesir biasanya dijumpai di kawasan utara Sepanyol dan selatan Perancis, selain turut berada di sekitar Afrika dan Asia. Bagaimanapun populasinya kini dilaporkan semakin merosot.

Sumber: Daily Mail

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'