Peristiwa yang tidak menyenangkan telah dialami oleh seorang gadis yang sedang makan pecal ayam goreng dan menjumpai sesuatu yang memualkan di dalam kuahnya.
Menurut Tribunnews, peristiwa Sabtu lepas itu menjadi viral setelah dirakam dan dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok yang bernama @meiongg.
Dilaporkan, seekor bangkai cicak telah ditemui di dalam kuah yang sebungkus dengan ayam gorengnya. Bangkai cicak tersebut didapati masih berada dalam keadaan yang ‘sempurna’ di tengah lumuran kuah itu.
Penemuan itu begitu mengejutkan gadis itu dan sepupunya yang sedang menikmati ayam goreng sekitar jam 2 pagi.
Sebelum kejadian tersebut berlaku, gadis itu ditawar oleh sepupunya yang lapar dan ingin membeli makanan di warung pecal ayam terdekat. Mereka memesan nasi dan dua ayam yang dibeli oleh seorang rakan.
Setelah makanan sampai ke rumah, mereka segera makan makanan yang dipesan. Jelas gadis itu, “Saya makan di bilik dengan sepupu saya, tetapi bahagian kuahnya sedikit lebih besar daripada kuah biasa. Oleh itu, saya mengeluarkan separuh isi kuah terlebih dahulu.”
Gadis itu dikatakan mengaku makan dengan lahapnya seperti biasa, malah dia turut menghabiskan makanan tersebut. Namun, ketika hendak mengeluarkan baki kuah, dia terasa ada sesuatu yang menyekat.
Sejurus sahaja bangkai cicak itu dikeluarkan, mereka terus muntah. Gadis itu mengatakan, “Saya segera membuang makanan di mulut saya, sepupu saya juga terus muntah.”
Tambahnya, “Saya terus memberitahu rakan saya. Dia berasa serba salah dan menyarankan agar dibungkus semula pecal bersama haiwan itu,” katanya.
Menurut sumber, rakannya itu segera pergi ke warung makanan itu untuk menegur pemilik warung agar lebih berhati-hati ketika menyediakan makanan. Dikatakan rakannya itu tidak meminta ganti rugi, tetapi hanya memesan agar tidak ada lagi kecuaian seperti itu.
Dipercayai, gadis itu dan sepupunya masih trauma dan menjadi lebih berhati-hati ketika membeli makanan. Dia juga masih tertanya-tanya bagaimana cicak itu boleh masuk ke dalam kuah pecal ayamnya.
Malah, dia tidak menyangka video tersebut akan menjadi viral di TikTok. Dalam keterangan videonya, dia menulis kapsyen, ‘Trauma makan pecel.’
Sehingga hari ini, video tersebut telah ditonton sebanyak 2.3 juta kali dan menerima komen sebanyak 3 ribu lebih.
Ternyata, netizen juga berasa mual dan jijik melihat rakaman video tersebut. Beberapa komen yang ditulis netizen, antaranya ialah:
“Auto tak ada selera makan hahaha,” kata @whatisithoney.
“Terus trauma saya nak makan,” komen @k3cut.
Tambah @dvidfalrizii,”Sumpah, meremang bulu roma saya.”
“Saya yang melihat terus tak teringin nak makan, haiwan yang paling saya takut,” komen @sherlynopitasari yang takut akan cicak.
@meiongg @baby.cuuu trauma mkn pecel wkwk
Sumber: Tribunnews.com