Seperti yang diketahui, Jepun sememangnya sebuah negara yang sangat cekap dalam menguruskan sesuatu ‘kelompongan’ atau masalah yang dihadapi.
Kebanyakan idea dan penyelesaian yang dilakukan oleh pihak berkuasa di sana juga mungkin agak ‘luar biasa’.
Seperti apabila berlakunya masalah kekosongan jutaan rumah di beberapa wilayah di negara itu. Bagi menarik orang ramai berhijrah ke wilayah tersebut, kerajaan menawarkan harga yang sangat berpatutan dan bahkan ada yang diberikan secara percuma.
Menurut Insider, kerajaan Jepun juga memberikan subsidi pengubahsuaian rumah kepada orang ramai yang berminat.
Langkah itu dilakukan kerana fenomena rumah tidak berpenghuni atau ‘akiya’ semakin meningkat di negara itu sejak beberapa tahun yang lalu.
Melalui Tinjauan Perumahan dan Tanah Jepun yang dilakukan setiap lima tahun, rekod tertinggi bagi bilangan rumah yang tidak berpenghuni adalah sebanyak 8.49 juta pada tahun 2018.
Ia dibiarkan kosong setelah ramai di antara mereka berpindah dan ada juga yang telah meninggal dunia.
Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 13.6% daripada 62.42 juta rumah di Jepun adalah tidak dihuni terutama di wilayah Wakayama, Tokushima, Kagoshima, dan Kochi dengan kadar kekosongan rumah lebih dari 18%.
Ekoran peningkatan tersebut, kerajaan tempatan mengambil pendekatan dengan memudahkan orang ramai untuk membeli rumah kosong tersebut.
Hanya dengan melayari laman web, orang ramai boleh melihat senarai rumah kosong berserta dengan harganya. Sebahagian daripadanya hanya berharga sekitar 50,000 yen (RM1,876) sahaja.
“Program ini bukan sahaja membantu sesetengah pemilik lama yang berjuang untuk membayar duit pajak tetapi juga untuk mengurangkan jumlah bangunan terbengkalai agar tidak menimbulkan risiko di masa hadapan,” kata jurucakap pejabat kerajaan.
Sumber: Insider