Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Ungkapan itu jelas menunjukkan bahawa kasih sayang yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa kita tiada tolak bandingnya.
Seperti ibu, ayah juga sentiasa menginginkan yang terbaik untuk anak-anak.
Sebentar tadi, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkongsikan mengenai emel dari seorang ayah yang memohon agar mendoakan anaknya yang sedang bertarung dengan penyakit nephrotic syndrome.
Anaknya juga dikatakan mendapat keputusan SPM yang sangat cemerlang dan berhasrat untuk menyambung pelajaran di UiTM Shah Alam.
Mari ikuti perkongsian Dr. Zulkifli di bawah ini.
KASIH SEORANG AYAH
Masih di pejabat, menyelesaikan beberapa tugasan, mesyuarat dan menyemak timbunan dokumen.
Saya banyak menerima emel daripada orang ramai, namun emel ini menarik perhatian saya. Seorang ayah mengirimkan emel kepada saya dan meminta saya mendoakan anakandanya disembuhkan daripada penyakit “nephrotic syndrome” dan diterima masuk ke UiTM Shah Alam.
Beliau juga ada mengepilkan keputusan SPM anakanda beliau. Subhanallah. Bijak orangnya. Moga Allah SWT mengabulkan semua hasrat En. Raja Azman. Seorang ayah, pasti sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.
Biasanya lelaki yang bergelar ayah tidak semahir ibu dalam menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak. Tapi percayalah, dia sentiasa berusaha semampu mungkin untuk kebahagiaan anak-anaknya. Riak wajahnya mungkin tegas, tetapi siapa tahu berapa kali hatinya “menangis” untuk memastikan anak-anaknya berjaya. Emel ini membuktikan kasih seorang ayah.
Pakcik sentiasa doakan anakanda Raja Muhammad Ameir Nabil. Jangan lepaskan genggaman tangan ibu dan ayah, walaupun anakanda sudah jauh di puncak suatu hari nanti.
Sama-sama kita doakan agar Raja Muhammad Ameir Nabil diberikan kesembuhan dan berjaya menyambung pengajian di UiTM.