Siakap Keli
Gambar: Express.co.uk

Kurus Tak Semestinya Sihat, Ketahui Tanda Tubuh Tinggi Kolestrol Atau Tidak, Tengok Pada Mata

Apabila sebut sahaja perkataan ‘kolestrol’, pasti kita lebih senang mengaitkan lemak dengan tubuh badan seseorang yang gempal.

Namun, kita mungkin tidak mengetahui bahawa tubuh badan yang kurus juga mempunyai kolestrol, sama ada tinggi atau rendah sahaja yang menjadi ukurannya.

Kolestrol yang tinggi sebenarnya boleh membahayakan kesihatan seseorang individu. Ada cara tertentu untuk mengetahui sama ada kita memiliki tanda-tanda kolestrol tinggi.

Salah satunya mungkin menggunakan alat khas, namun ada yang lebih menarik dikongsikan oleh portal kesihatan Hello Doktor, iaitu hanya lihat kawasan mata kita.

Ikuti perkongsian info di bawah untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Apakah tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh seseorang? Adakah hanya individu berbadan besar sahaja berisiko mengalaminya?

Ikuti penjelasannya dalam perkongsian artikel ini untuk lebih kefahaman mengenai keadaan tersebut.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Apa sebenarnya kolesterol?

Sebelum mengetahui mengenai tanda-tandanya, kita fahami terlebih dahulu mengenai kolesterol.

Umumnya, setiap individu mempunyai kolesterol – lipid berwarna putih kekuningan atau lemak yang berada pada setiap sel tubuh.

Ia berperanan memastikan sel dan organ berfungsi dengan baik. Kolesterol turut memainkan peranan utama dalam pengeluaran hormon, vitamin dan pencernaan.

Kolesterol terhasil daripada 2 sumber:

  • 80% secara semula jadi oleh hati dan usus
  • 20% daripada diet pemakanan harian

Jenis-jenis kolesterol:

HDL sering disebut kolesterol baik. Ia membawa kolesterol jahat dan bahan tidak sihat lain ke hati anda.

Hati kemudiannya akan menjalankan fungsi memecah dan membuang toksin ini daripada tubuh.

LDL dikenali sebagai kolesterol jahat. Jika jumlahnya tinggi pada arteri, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius!

Trigliserida pula sejenis lemak lain dalam darah.

Kadar gabungan yang tinggi digabungkan dengan tahap LDL tinggi atau HDL rendah, boleh mengakibatkan wujudnya risiko tinggi untuk mengalami serangan jantung atau angin ahmar.

Jadi bagaimana terjadinya masalah dan tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh?

Tanda-tanda kolestrol tinggi: Mengapa ia terjadi?

Tanda-tanda kolestrol tinggi boleh terjadi apabila terdapat terlalu banyak kandungan kolesterol dalam darah.

Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai hiperkolesterolemia. Ia dialami 1 daripada 3 individu dewasa.

Banyak kemungkinan penyebab wujudnya tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh seperti amalan gaya hidup seseorang.

Tetapi sejarah keluarga serta masalah perubatan lain juga boleh mempengaruhi tahap kolesterol.

Berikut antara beberapa tabiat yang cenderung menyebabkan tahap kolesterol tinggi:

  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Merokok
  • Tidak aktif
  • Tidur tidak mencukupi
  • Terlalu banyak tekanan
  • Diet tinggi lemak tepu
  • Diet tinggi lemak trans

Tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh kerana genetik

Keadaan kolesterol tinggi yang didasari faktor genetik dikenali sebagai hiperkolesterolemia keluarga (familial hypercholesterolemia – FH).

Individu dengan FH dilahirkan dengan kolesterol tinggi kerana tubuh mereka tidak dapat memproses LDL dengan betul.

FH adalah salah satu penyakit yang diwarisi paling biasa, dialami 1 daripada 220 individu dewasa.

Individu dengan FH mempunyai risiko penyakit jantung 13x ganda lebih tinggi.

Tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh

Kolesterol tinggi adalah penyakit senyap yang merebak secara perlahan-lahan.

Ia hanya dapat dikesan setelah anda mengalami masalah darah atau isu kesihatan serius seperti strok mahupun serangan jantung.

Tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh #Gejala fizikal

Bagi sesetengah individu, tanda-tanda kolestrol tinggi dapat dilihat dengan kehadiran benjolan kuning pada kulit sekitar kelopak mata mereka.

Deposit lemak yang rata dan kekuningan ini disebut sebagai xanthelasma. Biasanya ia tidak menjejaskan penglihatan atau mempengaruhi kemampuan mata untuk berkedip.

Kolesterol yang tinggi ini juga boleh menjadi benjolan pada kulit sekitar bahagian siku, lutut atau kaki – dikenali sebagai xanthomas.

Xanthomas tidak menyakitkan tetapi boleh menyebabkan wujudnya benjolan kecil sebesar jarum hinggalah buah anggur.

Selain itu, tanda-tanda kolestrol tinggi boleh dikenal pasti melalui komplikasi berkaitan masalah jantung.

#Penyakit arteri koronari

Gejala penyakit jantung mungkin berbeza pada lelaki dan wanita.

Simptom paling biasa:

  • Sakit dada (angina)
  • Loya
  • Keletihan melampau
  • Sesak nafas
  • Sakit pada leher, rahang, perut atas atau belakang
  • Kebas atau kesejukan di hujung kaki

#Serangan jantung

Berkembang apabila kolesterol berkumpul di arteri dan menyekat aliran darah.

Antara gejalanya:

  • Kesakitan atau ketidakselesaan di dada, lengan, atau bahu
  • Pening atau sakit kepala
  • Lemah badan atau keletihan melampau
  • Berpeluh sejuk
  • Sesak nafas atau sukar bernafas
  • Kegelisahan
  • Loya, ketidakselesaan perut atau pedih ulu hati

Tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh #Penyakit arteri periferal

Penyakit arteri periferal (PAD) berlaku apabila pengumpulan kolesterol menghalang darah masuk ke buah pinggang, perut dan anggota badan lain.

Beberapa gejala yang perlu diperhatikan:

  • Lenguh kaki
  • Sakit atau kekejangan di kaki
  • Perubahan warna kulit atau bulu kaki
  • Sensasi terbakar atau warna kebiruan di jari kaki
  • Kuku kaki menebal
  • Sebelah kaki terasa lebih sejuk
  • Luka di kaki tidak atau lambat sembuh

Strok

Pengumpulan kolesterol menghalang aliran darah masuk ke otak boleh menyebabkan angin ahmar.

Gejalanya boleh muncul secara tiba-tiba, seperti:

  • Hilang kawalan pada wajah, lengan atau kaki (biasanya pada sebelah sisi tubuh)
  • Kesukaran bercakap
  • Masalah penglihatan
  • Kekeliruan
  • Pening
  • Kesukaran berjalan, kehilangan keseimbangan dan koordinasi
  • Sakit kepala yang sangat teruk

Cegah tanda tanda kolesterol tinggi pada tubuh

Tanda-tanda ini sukar untuk dikenal pasti pada peringkat awal, oleh itu amalan gaya hidup seimbang amat penting!

Berhenti merokok dapat membantu menurunkan kadar kolesterol jahat dan meningkatkan kadar kolesterol baik.

Sasarkan untuk mendapat berat badan seimbang antara indeks jisim badan (BMI) 18.5 hingga 22.9.

Makan secara sihat, bersenam dan pantau kadar kolesterol melalui pemeriksaan doktor secara berkala.

Sumber: Hello Doktor

Nurul Nabila

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.