Seorang ayah bersemangat untuk meraikan majlis perkahwinan anak gadisnya di Uttar Pradesh, India. Pada Isnin baru-baru ini, ayah tersebut, Madanpal Singh mengedar kad jemputan majlis kepada jiran tetangga, lima hari sebelum majlis dijadualkan berlangsung.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, langkahnya terhenti di satu tempat apabila terlihat ramai orang sedang berkumpul menyaksikan sesuatu di atas jalan.
Tergerak hati untuk mengetahui apa yang berlaku, dia pun bergerak menuju ke kawasan sesak tersebut dan tiba-tiba, dia terkaku apabila terlihat apa yang ada di hadapannya ialah sekujur tubuh mayat yang cukup dikenali.
“Ini anak perempuan aku!” teriaknya, sebelum lemah dan rebah ke tanah.
Muslihat sebenar
Gadis terebut, Meenakshi Singh, 19, atau lebih mesra dipanggil Teena bakal melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya, Jitin, 20, pada 20 Jun ini.
Pada awalnya, Jitin mengajak Teena untuk keluar bersama-sama membeli barang-barang keperluan majlis pada hari yang sama ayahnya mengedar kad jemputan (Isnin).
Ibu Teena mengizinkannya dan menghantar si gadis berkenaan ke perhentian bas, dalam masa sama Jitin dipercayai turut menunggunya di sana.
Bagaimanapun, sesuatu yang ‘aneh’ mula berlaku apabila Jitin didakwa membawa Teena pergi ke satu tempat yang sunyi, lantas mencekik leher gadis tersebut hingga sesak nafas dan mati.
Difahamkan, sebenarnya Jitin memang sayangkan Teena, namun dia tidak berniat mahu mengahwini gadis tu. Mungkin sebab itulah dia ‘terpaksa’ membunuh bakal isterinya itu.
Kes pembunuhan Teena itu dihidu masyarakat sekitar dan laporan segera dibuat. Akhirnya Jitin berjaya ditangkap polis pada Selasa keesokannya, merujuk laporan Times of India.
Taknak teruskan perkahwinan, terpaksa bunuh
Semasa disoal siasat, Jitin mendakwa dia telah banyak kali cuba untuk membatalkan perkahwinan mereka sebelum ini namun tidak berjaya, malah mereka dikatakan sering bertengkar tentang isu yang sama.
Mungkin tiada cara lain, maka jalan terakhir yang dipilih Jitin adalah dengan membunuhnya. Selepas mencekik Teena hingga mati, dia membawa mayat gadis itu ke kawasan Thakurdwara dan meninggalkannya di atas jalan.
Punca konflik sebenar
Mengimbas kembali, pada awalnya Madanpal bersetuju mengizinkan Teena berkahwin dengan Jitin, tambahan pula mereka sudah saling mengenali. Maka tarikh majlis perkahwinan pun diaturkannya.
Pada 6 Jun lalu, Madanpal memberikan hadiah kepada Jitin dan ahli keluarganya sebagai salah satu adat dalam upacara perkahwinan, namun pemberian itu tidak begitu menyenangkan.
Difahamkan, ahli keluarga Jitin berasa kesal kerana mereka mahukan lebih banyak wang. Maka Jitin telah meminta Madanpal untuk menangguhkan majlis tersebut.
Namun penangguhan itu amat mustahil kerana kad jemputan sudah ditempah dan diedarkan kepada jiran tetangga. Ekoran itu, Jitin terpaksa bertindak membunuh Teena agar segalanya ‘berakhir’.
Jitin akhirnya ditahan pihak polis dan menghadapi perbicaraan atas tuduhan membunuh.
Sumber: Times Now News / Times of India