Seakan-akan menjadi ‘trend’, aksi mengalihkan botol minuman yang disediakan penaja oleh pemain bola ketika sidang media EURO 2020 yang berlangsung baru-baru ini.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo terlebih dahulu memulakannya apabila beliau bertegas soal minuman sihat, diikuti pemain Perancis, Paul Pogba serta pemain tengah Itali, Manuel Locatelli yang mengalihkan botol minuman keras tajaan penaja dalam beberapa sidang media sebelum ini.
Perbuatan ini mencuri perhatian jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia, khususnya yang sedang fokus menonton persembahan aksi negara mereka berentap di atas padang dalam EURO 2020.
Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak berlaku lagi selepas ini apabila UEFA bertegas meminta pemain-pemain bola sepak agar tidak lagi mengalihkan sebarang botol minuman penaja di meja sidang media.
Apatah lagi ia telah mengakibatkan saham dan jualan beberapa syarikat penaja berkenaan jatuh merudum, gara-gara tindakan pemain berkenaan sebelum ini.
Pengarah EURO 2020, Martin Kallen berkata, UEFA sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak-pihak terlibat kerana ia sangat berisiko.
“Perkara ini sangat serius kerana pendapatan penaja adalah sangat penting bagi setiap perlawanan EURO 2020 dan bola sepak Eropah yang berlangsung.
“Peraturan dalam kejohanan (EURO 2020) ini memerlukan kepatuhan terhadap perjanjian UEFA kepada pihak penaja, walaupun ada pemain yang taat pada agama mereka (Islam) untuk menidakkan kewujudan botol minuman (keras) tersebut,” katanya, memetik laporan Sky News.
Sementara itu, pengurus England, Gareth Southgate maklum tentang kontroversi tersebut dan berpendapat bahawa konsistensi penaja amat penting agar perlawanan dapat berlangsung tanpa masalah, lebih-lebih lagi soal kewangan.
Sumber: Sky News