Siakap Keli
Kredit: Bernama

Langgar SOP: Lebih 1,700 Premis Di P. Pinang Diarah Tutup

GEORGE TOWN, 20 Jun (Bernama) — Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP) pada Mac tahun lepas hingga kini, lebih 1,700 premis di Pulau Pinang diarah tutup oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo, tindakan tersebut diambil menerusi pemeriksaan ke atas lebih 1.9 juta premis di seluruh negeri.

Amnya kadar pematuhan SOP di Pulau Pinang kekal tinggi dengan masing-masing 99.5 peratus dan 99.3 peratus di bahagian pulau dan tanah besar, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau sebelum itu mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan di sebuah pusat kuarantin di Tanjung Bungah, di sini.

“Saya percaya kita telah sampai pada peringkat di mana semua orang tahu apa yang perlu dilakukan. Kami mahu membantu ekonomi, tapi paling penting sekarang ialah memastikan keselamatan awam dengan menghentikan jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau juga mengulangi kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan masyarakat dan pihak berkuasa akan terus melakukan pemeriksaan pematuhan SOP ke atas premis.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.