Siakap Keli
Gambar: Raiyanfoundation.com

Apakah Lafaz Sujud Sahwi & Hukum Tidak Membaca Zikir Ketika Duduk Antara Dua Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Mufti

Solat merupakan tiang agama dan wajib ditunaikan oleh semua Muslim. Ibadah solat mempunyai rukun-rukun tertentu yang perlu kita ikuti, namun ada waktunya kita akan terlupa menunaikan salah satu rukun solat. Maka, kita disunatkan untuk sujud sahwi sebelum memberi salam di akhir solat.

Walau bagaimanapun, ada juga yang keliru sama ada perlu melafazkan zikir khusus atau zikir yang sama seperti kebiasaan solat.

Jadi, pejabat Mufti ada memberi penjelasan mengenai lafaz yang perlu dibaca ketika sujud sahwi beserta hukum bagi yang meninggalkan zikir ketika duduk antara dua sujud sahwi. Ikuti penjelasannya di bawah.

Soalan

Apakah lafaz yang sepatutnya diucapkan ketika sujud sahwi? Sebab saya ada dengar katanya baca apa-apa bentuk doa pun boleh. Kemudian, adakah batal solat sekiranya tidak membaca tasbih ketika duduk antara dua sujud sewaktu melakukan sujud sahwi? Mohon penjelasan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Bacaan bagi sujud sahwi adalah sama seperti bacaan zikir dalam sujud ketika solat. Tetapi sebahagian ulama menjelaskan sunat mengucapkan “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو”. Perbuatan tidak membaca zikir pada duduk antara dua sujud sahwi tidak membatalkan solat kerana ia bukan perkara rukun atau fardu dalam solat.

Huraian Jawapan

Tidak terdapat dalil khusus yang menyebutkan tentang bacaan zikir ketika sujud sahwi. Maka dalam hal ini bacaannya adalah seperti bacaan sujud dalam kebiasaan solat seperti (سبحان ربي الأعلى). Lebih-lebih lagi ketika sujud amat digalakkan untuk memperbanyakkan bertasbih. Perkara ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: Nabi SAW banyak menyebut ketika rukuk dan sujud: Maha suci Engkau wahai Allah tuhan kami dan segala puji-pujian bagi Engkau ampunilah aku. [1]

Riwayat al-Bukhari (817)

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa sunat untuk mengucapkan:

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

Maksudnya: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai. [2]

Namun lebih afdal membaca zikir sama seperti zikir dalam solat, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab Raudah al-Talibin. [3]

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmūʻ bahawa:

سُجُودُ السَّهْوِ سَجْدَتَانِ بَيْنَهُمَا جَلْسَةٌ وَيُسَنُّ فِي هَيْئَتِهَا الِافْتِرَاشُ وَيَتَوَرَّكُ بَعْدَهُمَا إلَى أَنْ يُسَلِّمَ وَصِفَةُ السَّجْدَتَيْنِ فِي الْهَيْئَةِ وَالذِّكْرِ صِفَةُ سَجَدَاتِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: Sujud sahwi ialah dua sujud yg di dalamnya terdapat duduk dan disunatkan duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal). Manakala, duduk tawaruk (duduk tahiyat akhir) selepas sujud kedua-duanya sehingga berakhir dengan salam. Sifat dua sujud ini ialah pada perbuatan sujud dan zikir bacaan ketika sujud ialah (sama dengan) sifat semua sujud di dalam solat. [4]

Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pandangan ulama mazhab Syafi’ie mengenai sifat dan bacaan zikir di dalam sujud sahwi, kata beliau:

صفته: سجدتان كسجود الصلاة في واجباته ومندوباته كوضع الجبهة والطمأنينة والتحامل والتنكيس (رفع الأسافل) والافتراش في الجلوس بينهما، والتورك بعدهما .ويحتاج لنية بقلبه، فإن نوى بلسانه بطلت صلاته .وحكى بعضهم أنه يندب أن يقول فيهما: (سبحان من لا ينام ولا يسهو) وقال بعضهم: والظاهر أنه كالذكر (التسبيح) في سجود الصلاة.

Maksudnya: (Sifat sujud sahwi) Dua sujud seperti sujud di dalam solat dari sudut kewajipannya dan sunat-sunatnya iaitu seperti meletakkan dahi, toma’ninah (ketenangan), menekan (sedikit), mengangkat bahagian belakang, duduk secara iftirasy (duduk seperti duduk tahiyyat awal) di antara dua sujud dan duduk tawarruk selepasnya. Hendaklah diniat dalam hati, sekiranya niat dengan lisan maka batal solatnya. Terdapat sebahagian pandangan yang mengatakan sunat membaca ketika dua sujud tersebut: Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai dan sebahagian yang lain berkata: Secara zahirnya zikir dalam sujud sahwi adalah sama seperti zikir (tasbih) dalam sujud pada kebiasaan solat. [5]

Berdasarkan kenyataan di atas, menurut mazhab Syafi’ie sifat dan bacaan sujud sahwi sama sifatnya dengan sujud di dalam solat sunat dan fardu. Begitu juga bacaan ketika duduk antara dua sujud sahwi adalah sebagaimana bacaan ketika duduk antara dua sujud pada kebiasaan solat. Bacaannya adalah seperti berikut: [6]

رب اغفرلي وارحمني واجبرني وارفعني وارزقني واهدني وعافني واعف عني

Maksudnya: Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, tutuplah keaibanku, murahkanlah rezekiku, kurniakanlah hidayah kepadaku, berilah kesembuhan kepadaku dan berilah kemaafan kepadaku.

Sekiranya tidak membaca zikir pada duduk antara dua sujud sahwi maka hal tersebut tidak menyebabkan batalnya solat. Kerana bacaan zikir ketika duduk antara dua sujud adalah sunat. Ia juga bukan perkara rukun atau fardu yang yang boleh membatalkan solat apabila tidak melaksanakannya.

Kesimpulan

Lafaz bacaan bagi sujud sahwi sama seperti bacaan bagi sujud ketika solat. Namun, sebahagian ulama menjelaskan sunat mengucapkan dengan lafaz “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو”. Perbuatan tidak membaca zikir pada duduk antara dua sujud sahwi tidak membatalkan solat kerana ia bukan perkara rukun atau fardu dalam solat. Wallahuaʻlam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurul Nabila