Seorang lelaki berusia 38 tahun yang diisytiharkan maut dalam kemalangan kereta api Jnaneswari pada tahun 2010, telah ditemui hidup selepas 11 tahun, lapor portal Gulfnews.

Dilaporkan, misteri itu terbongkar ketika CBI menahan seorang lelaki, iaitu Amritavan Chowdhury dari Jorabagan di Kolkata Utara, India Sabtu lalu. Lelaki itu berumur 27 tahun pada masa kemalangan berlaku. Dia tersenarai antara penumpang yang maut dalam salah satu kemalangan paling serius ketika itu.
Kemalangan itu didakwa berpunca daripada Maoist pada 28 Mei 2010 di West Midnapore. Ketika itu, kereta api Jnaneswari Express yang menuju ke Mumbai tergelincir dan bertembung dengan kereta api barangan angkut. Pertembungan itu telah mengakibatkan 148 orang penumpang terbunuh.

Berdasarkan penemuan awal, pegawai CBI mengatakan bahawa mereka mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa mangsa kemalangan kereta api diisytiharkan mati pada tarikh kemalangan itu. Maka, keluarganya telah menerima pampasan sebanyak Rs 400,000 (RM22,000).
Selama bertahun-tahun, adik perempuannya, Mahua Pathak telah ditugaskan sebagai “pembantu isyarat” di Sealdah bahagian Keretapi Tenggara. Dilaporkan, dia telah melakukan pekerjaan kerajaan Pusat yang diterima sebagai sebahagian dari pampasan atas kematian abangnya. Bukan itu sahaja, ibu bapanya dikatakan telah menerima ex-gratia (pembayaran oleh sesuatu organisasi) sebagai sebahagian daripada pakej pampasan.
Menurut pegawai CBI, “Kami menerima aduan dari pejabat pengurus besar, cawangan pentadbiran Kereta Api Tenggara pada 11 Ogos tahun lalu berdasarkan sebuah siasatan rahsia yang dilakukan. Penemuan awal menunjukkan bahawa mangsa dikatakan masih hidup.”
Tambah beliau, “Mayat itu diserahkan kepada keluarga setelah memadankan profil DNA. Ini bererti ada gangguan pada laporan DNA kerana sekarang kita dapati orang yang disahkan mati itu masih hidup. Mayat yang diserahkan kepada keluarga itu ternyata bukan Amritavan Chowdhury.”
Menurut pegawai kanan polis negeri, mayat kemalangan yang dapat dicam akan diserahkan kepada keluarga setelah memeriksa dokumen tersebut. Namun, terdapat banyak mayat yang mengalami kemusnahan teruk dan tidak dapat dikenal pasti. Dalam kes tersebut, mayat Chowdhury diserahkan kepada ahli keluarga setelah pemadanan DNA.
Salah seorang pegawai kanan itu berkata, “Nampaknya keluarga Chowdhury disyaki bersekongkol dengan beberapa pegawai kerajaan telah merosakkan laporan profil DNA. Jadi, itu dapat membuktikan bahawa DNA salah satu mayat mangsa kemalangan kereta api itu sesuai dengan anggota keluarga mereka.”
Sumber: Gulfnews.com, Dunyanews.tv