Siakap Keli
Gambar: KlikDokter.com

Patutlah Selalu Sakit Perut Waktu Pagi, Ini Rupanya Antara 13 Punca Yang Mungkin Terjadi

Ketika bangun tidur pada waktu pagi, kita pasti sudah bersiap sedia untuk melakukan aktiviti harian atau bekerja dengan penuh bersemangat. Namun, apabila perut tiba-tiba sahaja memulas tanpa kita ketahui puncanya, mungkin akan membuatkan kita seharian menjadi moody dan kembali tidak bersemangat.

Bukan itu sahaja, sakit perut yang dialami berulang-ulang kali terjadi pada setiap pagi. Jika situasi ini terjadi, sebaiknya kita ambil tahu punca masalah sakit perut ini sebelum keadaan menjadi bertambah parah.

Oleh itu, portal Hello Doktor ada berkongsikan beberapa punca sakit perut yang boleh kita semak dan cari solusinya. Ikuti perkongsiannya di bawah.

Situasi sakit perut waktu pagi boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor. Masalah pencernaan ringan sehingga keadaan gastrousus yang lebih serius boleh menjadi punca ketidakselesaan perut itu.

Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui 13 penyebab biasa masalah sakit abdomen yang dialami ketika pagi.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

13 punca sakit perut waktu pagi

Berikut adalah beberapa penyebab ketidakselesaan perut pada waktu pagi:

#1. Gastritis

Gastritis atau gastrik, merupakan keradangan pada lapisan perut. Ia boleh berkembang secara mendadak atau perlahan-lahan dari masa ke masa.

Kesakitan dan ketidakselesaan perut pada bahagian atas adalah gejala biasa untuk keadaan ini, di samping gejala mual dan cepat kenyang.

Ketidakselesaan perut disebabkan #2. Gastroenteritis

Merupakan jangkitan virus atau bakteria yang menyasarkan bahagian perut dan usus.

Individu yang mengalami keadaan ini akan mendapat cirit-birit dan sakit perut waktu pagi.

#3. Asid refluks and GERD

Asid refluks adalah keadaan di mana kandungan asid dan perut mengalir dengan cara yang salah, iaitu bergerak kembali ke esofagus.

Keadaan ini boleh menyebabkan wujudnya sensasi terbakar pada bahagian tekak.

Kebanyakan individu dengan masalah ini akan berasa sakit pada perut, biasanya di bahagian tengah abdomen.

#4. Ketakcernaan punca sakit perut waktu pagi

Dyspepsia adalah istilah perubatan bagi ketakcernaan (indigestion).

Amalan gaya hidup, seperti jenis makanan yang diambil, boleh menjadi punca yang menyebabkannya.

Pun begitu, dalam sesetengah kes, ia boleh melibatkan penyakit tertentu.

Sakit perut adalah simptom paling biasa berkaitan dengan gangguan pencernaan.

Ada juga individu yang mungkin berdepan rasa loya, kembung perut serta cepat kenyang ketika makan.

#5. Apendiks

Apendisitis adalah keradangan yang berlaku pada apendiks – tisu kecil seperti kantung terletak pada bahagian kolon di kawasan bawah abdomen.

Kesakitan perut yang terjadi biasanya bertambah teruk dari masa ke masa. Gejala lain yang mungkin dialami termasuklah loya dan demam.

#6. Ulser perut

Juga dikenali sebagai ulser peptik, ia boleh menyebabkan sensasi terbakar bersama rasa sakit perut waktu pagi.

Kesakitan boleh berlaku pada bila-bila masa, tetapi kecenderungan untuk mengalami ketidakselesaan perut akan meningkat pada sebelah pagi kerana abdomen kosong.

Ulser peptik ini adalah luka pada lapisan perut dan usus kecil yang paling dekat dengan perut.

#7. Sindrom rengsa usus

Irritable bowel syndrome (IBS) adalah keadaan biasa berkaitan sistem penghadaman yang boleh menyebabkan sakit perut serta perubahan tabiat usus.

Mereka dengan IBS mungkin mengalami sembelit dan cirit-birit yang kerap atau bergantian antara keduanya.

Di samping itu, gejala lain yang mungkin akan dirasai adalah perut kembung dan pergerakan usus tidak lengkap.

Makanan yang diambil selain tekanan tertentu boleh mencetuskan IBS.

#8. Alahan makanan punca sakit perut waktu pagi

Sakit perut adalah gejala alahan makanan yang biasa berlaku. Ia menjejaskan hampir 4-6% kanak-kanak dan 4% individu dewasa.

Simptom lain yang mungkin dialami adalah loya, kegatalan dan anafilaksis – reaksi alahan serius berpotensi membawa maut – mengganggu pernafasan serta mengakibatkan penurunan tekanan darah.

#9. Sembelit

Masalah sembelit merujuk kepada kurang daripada 3x pergerakan usus dalam seminggu.

Aktiviti usus tidak teratur boleh menyebabkan gas terperangkap pada saluran usus, mengakibatkan kekejangan teruk pada bahagian bawah perut.

Individu dengan sembelit juga boleh mengalami sakit perut waktu pagi.

Biasanya masalah sembelit yang terjadi boleh dirawat menggunakan rawatan rumah sahaja.

Namun sekiranya keadaan bertambah kronik atau disertai gejala lain seperti pendarahan atau demam, lakukan pemeriksaan doktor segera!

#10. Penyakit seliak

Juga dikenali sebagai intoleransi gluten.

Keadaan ini boleh menyebabkan sistem imun seseorang menyerang usus kecil ketika memakan makanan yang mengandungi gluten.

Gejalanya bervariasi tetapi paling biasa adalah ketidakselesaan perut dan cirit-birit.

#11. Penyakit pundi hempedu punca sakit perut waktu pagi

Masalah berkaitan pundi hempedu boleh menyebabkan sakit perut, selalunya di bahagian kanan atas abdomen.

Sekiranya terdapat batu hempedu dan menyekat saluran pada pundi hempedu, simptom lain juga akan muncul.

Antaranya seperti mual, muntah, warna air kencing gelap, penyakit kuning dan penurunan tekanan darah.

12. Pankreatitis

Pankreatitis berkembang apabila pankreas mengalami keradangan, selalunya disebabkan oleh batu hempedu.

Antara gejala biasa termasuklah rasa sakit perut yang teruk secara tiba-tiba pada bahagian abdomen atas, loya dan muntah.

13. Lekapan perut punca sakit perut waktu pagi

Abdominal adhesion adalah keadaan perubatan di mana jalur tisu seperti parut menyebabkan organ dalaman – selalunya usus – melekat antara satu sama lain atau ke dinding perut, menghalangnya bergerak bebas.

Kebanyakan individu yang mengalami keadaan ini tidak berdepan komplikasi.

Namun dalam sesetengah kes, sakit perut kronik adalah perkara biasa, selain gejala perut kembung, sembelit dan loya.

Kesimpulannya

Terdapat pelbagai punca dan keadaan yang boleh menyebabkan sakit perut waktu pagi.

Dalam kebanyakan keadaan, ia boleh sembuh dengan rawatan penjagaan diri.

Walau bagaimanapun, ada kalanya ketidakselesaan perut yang dialami boleh berpunca daripada masalah kesihatan kronik dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Jika kesakitan yang dialami berterusan serta timbul simptom lain, lakukan pemeriksaan doktor untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan bersesuaian.

Sumber: Hello Doktor

Nurul Nabila