Siakap Keli
Kredit: Google/Daily Star/Netflix

(Video)”Kulit Luruh Dari Badan, Rambut Terbakar,” Ini Tiga Fasa ‘Membunuh’ Boleh Berlaku Jika Bom Nuklear Meletup

Bom nuklear merupakan senjata pembunuh yang cukup digeruni setiap manusia. Dipercayai lebih berkuasa daripada bom atom, kesan nuklear semestinya menjadi satu malapetaka kepada dunia ditimpa.

Kongsi salah seorang mangsa ledakan bom atom di Nagasaki yang terselamat, Shigeko Matsumoto, sebaik sahaja letupan berlaku, rambut dan kulit mangsa terbakar serta luruh.

“Pada 11.02 pagi, langit menjadi putih. Saya dan saudara terpelanting dan terhentak ke dalam tempat perlindungan bom. Kami tak tahu apa yang berlaku.

“Ketika sedang keliru, mangsa-mangsa terbakar yang cedera parah datang ke pusat perlindungan bom beramai-ramai.

“Kulit mereka luruh dari badan dan muka… Rambut terbakar hanya tinggal beberapa cm daripada kulit kepala. Ramai mangsa yang jatuh sebaik sahaja tiba di pusat perlindungan, menyebabkan berlaku timbunan jasad di sana. Bau busuk dan panas tak tertahan,” katanya seperti direkodkan TIME.

Anggaran korban letupan bom atom di Hiroshima dilaporkan sekitar 100,000 sehingga 180,000 daripada jumlah populasi, 350,000 orang. (Kredit: Daily Star)

Membayangkan situasi ini sahaja sudah cukup teruk, apatah lagi jika berlakunya letupan bom nuklear yang jauh lebih dahsyat daripada bom atom.

Bagi memberi gambaran kesan bom nuklear, Palang Merah telah berkongsi video simulasi jika satu bom nuklear dijatuhkan ke atas sebuah bandar besar.

Pada fasa pertama, bebola plasma yang didakwa lebih panas daripada matahari akan muncul ketika bom meletus dan menjadi bebola api seluas satu batu, tulis Daily Star. Setiap manusia di dalam zon itu akan musnah.

Kemudian, cahaya terang akan muncul dan boleh dilihat jauh berbatu, membutakan mata sesiapa yang melihatnya.

Bersama kilatan cahaya, datang letusan haba yang boleh mencapai 8 batu jarak ke setiap arah, membakar segala yang ada di laluannya baik tumbuhan, bangunan serta manusia.

“Semua yang berada di lingkungan 300 batu (482km) persegi yang boleh terbakar, mula terbakar,” tulis Palang Merah dalam video itu.

Fasa kedua yang bermula beberapa saat kemudian pula, gelombang elektromagnetik akan memutuskan semua komunikasi di kawasan terlibat manakala gelombang udara panas akan berkembang lebih laju daripada kelajuan bunyi, menyebabkan angin berkekuatan ‘taufan’.

Dalam jarak satu batu pertama, hanya bangunan paling kuat sahaja akan kekal. Bangunan lain akan runtuh, menimpa para penghuni yang terselamat semasa letupan awal.

Dari jarak 10 batu pula, orang ramai dapat melihat awan berbentuk ‘cendawan’ di tingkap rumah mereka, tanpa menyangka gelombang kejutan sedang dalam perjalanan memecahkan tingkap mereka menjadi cebisan kaca yang boleh menembusi daging.

Selama ini, kita percaya pihak berkuasa akan mengambil alih dan membantu mangsa-mangsa sebaik berlakunya bencana.

Pun begitu, video tersebut menyifatkan letupan nuklear sebagai malapetaka di mana kesemua bencana alam berlaku pada masa yang sama.

Fasa ketiga, terlalu ramai mangsa memerlukan rawatan untuk luka terbakar, terkena kaca serta kecederaan lain, membuatkan kelumpuhan sistem kesihatan. Ribuan mangsa akan terbiar tanpa rawatan dan meninggal dunia selepas letupan.

Gambaran kesan nuklear dalam filem Chernobyl yang ditayangkan di Netflix. (Kredit: Daily Star)

Terperangkap, cacat dan buta, mereka kemungkinan besar menghembuskan nafas terakhir di bawah runtuhan.

Malah, kumpulan yang terselamat di tempat perlindungan juga tidak semestinya selamat. Hujan hitam dengan debu radioaktif akan mula turun.

“Setiap nafas membawa racun kepada paru-paru mangsa terselamat,” tulis video berkenaan. Ramai yang akan meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari.

Selain itu, lebih ramai dijangka meninggal dunia akibat leukaemia serta kanser lain dalam tempoh beberapa bulan atau tahun selepas letupan.

Salah seorang mangsa tragedi letupan bom atom pada 1945 di Jepun, Kunihiko Iida berkata, dia tidak pernah bebas daripada penyakit.

Sejak terselamat ketika berusia tiga tahun, lelaki ini mengalami pelbagai jenis penyakit daripada asthma sehingga kanser.

Setelah ketumbuhan pada otaknya berjaya dibuang, Kunihiko kemudiannya mengalami ketumbuhan pada thyroid pula.

“Penyakit tak putus-putus,” katanya seperti ditulis Daily Star.

Dengan lebih 13,000 senjata nuklear di dunia hari ini, satu kesilapan manusia boleh menyebabkan malapetaka yang dahsyat.

Sumber: Daily Star, TIME, Red Cross

Amira

Love yourself.