Siakap Keli
Gambar: Bernama

Diugut Masuk Penjara, Remaja 16 Tahun Dakwa Dirogol Di Balai Polis

Seorang remaja berusia 16 tahun mendakwa telah dirogol oleh seorang anggota polis di sebuah balai polis di Indonesia.

Mangsa dilaporkan diugut untuk dihumban ke penjara oleh tertuduh sekiranya dia tidak melayani nafsunya itu.

Berita bahawa anggota polis didakwa mencabul seorang remaja bawah umur itu lantas menjadi tular di media sosial.

Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh akaun Malut Post, anggota polis berkenaan bertugas di Balai Polis Jailolo Selatan di desa Sessionoli, Kabupaten Halmahera Barat (Halbar), Maluku Utara.

Kejadian rogol seorang remaja berusia 16 tahun di Balai Polis itu bermula ketika mangsa dan rakannya bermalam di Sessionoli, iaitu di rumah penginapan Mari Sayang, Sabtu lalu.

Sekitar pukul 1.00 pagi waktu tempatan, mereka berdua telah didatangi anggota polis berkenaan. Mereka telah diminta segera ke balai polis tanpa sebab yang jelas.

Kedua-dua mereka telah dibawa menaiki kereta peronda. Setibanya di balai polis, mangsa dan rakannya kemudian telah dimasukkan ke bilik yang berasingan untuk disoal siasat.

Mangsa yang baru berusia 16 tahun, telah diperiksa di bilik anggota polis berkenaan. Semasa diperiksa, mangsa tiba-tiba dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkenaan keberadaan dia di rumah penginapan tersebut.

Menjawab pertanyaan polis tersebut, mangsa menjawab bahawa ibu bapa mereka telah mengetahui berkenaan lokasi mereka.

Oleh kerana sudah larut malam, mangsa dan rakannya itu dipaksa untuk menginap di balai polis tersebut.

Kedua-duanya berada dilaporkan berada di dalam bilik yang berbeza ketika sedang beristirehat. Ketika rakan mangsa mengunjungi biliknya, pintu biliknya itu didakwa terkunci dan lampu di bilik tersebut dipadamkan.

Tidak berapa lama kemudian, lampu di dalam bilik tersebut menyala dan anggota polis berkenaan dilihat meninggalkan bilik mangsa.

Menurut rakan mangsa, ketika dia memasuki bilik berkenaan, mangsa dilihat sedang menangis.

Mangsa dilaporkan memberitahu rakannya bahawa dia terpaksa melayani nafsu anggota polis berkenaan. Sekiranya dia tidak mahu melayaninya, mangsa diugut akan dihumban ke dalam penjara.

Selain daripada itu, anggota polis berkenaan didakwa sering melemparkan kata-kata yang kasar mengutuk rakannya.

Menurut Ketua Polis Halbar, AKBP Indra Andiarta, kes tersebut telah dikendalikan oleh Direktorat Jenayah Umum (Ditreskrimum).

“Untuk kes ini, jenayah tersebut sedang disiasat dan untuk kod etika, ianya akan diserahkan kepada Polda Propam. Ianya sesuai dengan hasil pemeriksaan dari Polis Daerah, baik jenayah umum dan kode etika,” katanya pada hari Selasa.

Sumber: Digtara.com

Aqmal Ezany

I write what is right