Siakap Keli
Kredit: Google

Bagaimana Kalau Orang Tak Dikenali Tuntut Hutang Pada Waris Arwah Tapi Tiada Bukti? Ini Penjelasan Peguam

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Semua sedia maklum, kalau sudah namanya hutang, mestilah perlu dibayar kan? Malah ia juga salah satu perkara ‘serius’ di sisi agama. Tapi macam mana pula kalau ada kes; seseorang itu telah meninggal dunia dalam keadaan berhutang.

Tiba-tiba ada individu datang menemui warisnya dan menuntut hutang si mati tapi tiada bukti? Apa yang si waris ni nak buat? Adakah dia yang perlu bertanggungjawab juga melangsaikan hutang arwah?

Mari ikuti penjelasan oleh peguam, Nur Shuhadah di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Macam mana kalau orang tak dikenali tuntut hutang pada waris arwah tapi tiada bukti?

Soalan: “Bagaimana jika selepas kematian arwah tiba tiba ada orang yang tak dikenali datang kepada waris arwah tuntut hutang? Bukti semua tak ada. Cakap mulut je.”

Jawapan:

Secara amnya hutang WAJIB diselesaikan walaupun ia tidak dituntut dengan menggunakan harta pusaka si mati.

Namun memandangkan waris tidak mengenali pemiutang tersebut, si mati juga semasa hayatnya tidak pernah menceritakan kepada waris waris tentang pemiutang tersebut.

Pemiutang tersebut hendaklah mengemukakan apa-apa dokumen atau bukti bahawa si mati pernah berhutang dengannya bagi meyakinkan pentadbir harta pusaka kerana saya percaya beban pembuktian terletak di bahunya.

Setelah si pemiutang berjaya membuktikan hutangnya kepada pentadbir harta pusaka si mati, pentadbir hendaklah menyelesaikan hutang tersebut menggunakan harta pusaka dan bukanlah harta miliknya sendiri.

Baki dari harta-harta yang ada barulah akan dibahagikan melalui faraid, atau sama rata, atau muafakat keluarga.

Kalau harta pusaka si mati tak cukup?

Soalan: “Bagaimana jika harta pusaka si mati tidak mencukupi untuk membayar hutang dari pemiutang tersebut?”

Jawapan: Secara amnya, pentadbir tiada kewajipan untuk membayar hutang si mati menggunakan wang sakunya sendiri. Namun pentadbir boleh berbuat demikian atas sifat tanggungjawab, kasih sayang atau ihsan pentadbir untuk memudahkan urusan akhirat si mati.

Sekian, semoga bermanfaat.

Oleh: Shada Mazan
Nur Shuhadah & Associates

Sumber: Shada Mazan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'