Pernah tak ketika anda membuang air besar, terlihat darah pada najis?
Jika ya, berkemungkinan terdapat pendarahan pada usus atau kolon. Tetapi banyak lagi punca-punca lainnya.
Apa yang pasti, jika anda menghadapi situasi berak berdarah, langkah yang paling bijak adalah segera ke pusat rawatan berdekatan dan dapatkan nasihat perubatan dari doktor.
Bagaimanapun, menurut Hello Doktor, berikut adalah 7 punca kenapa anda berak berdarah.
#1. Buasir
Ramai yang tahu tentang kondisi ini bukan? Buat anda yang belum tahu, ia adalah kondisi di mana saluran darah pada rektum atau anus membengkak lalu menyebabkan rasa sakit dan gatal.
Disebabkan pembengkakan ini terletak dan terkeluar dari lubang dubur, ia akan menyebabkan ketidakselesaan ketika membuang air besar. Kesannya, anda mungkin mengalami berak berdarah.
#2. Keracunan makanan
Kadangkala, pendarahan pada najis bukan hanya disebabkan oleh kondisi yang berlaku pada tubuh badan kita. Sebenarnya, ia juga mungkin disebabkan makanan atau minuman yang kita ambil.
Ada makanan atau minuman yang mengandungi organisma penyebab keracunan makanan.
Selain sakit perut, cirit-birit atau muntah-muntah, berak berdarah juga merupakan salah satu simptomnya.
#3. Fisur anus
Selain itu, kondisi berak berdarah juga mungkin boleh berlaku akibat fisur anus. Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu kondisi di mana berlaku kekoyakan pada kawasan sekitar dinding anus.
Sudah pasti ia akan mengakibatkan pendarahan ketika membuang air besar selain turut menyebabkan rasa seperti lubang dubur terkoyak atau terbakar ketika najis melaluinya.
#4. Ulser peptik
Mungkin ramai yang tahu bahawa ulser boleh berlaku dalam mulut. Anda juga perlu tahu bahawa ia boleh berlaku pada dinding perut atau usus sehingga menyebabkan pendarahan.
Pendarahan ini mungkin kita dapat lihat ketika membuang air besar.
Najis kelihatan seakan bercampur dengan darah akibat ulser ini. Segera berjumpa doktor untuk dapatkan rawatan lebih lanjut.
#5. Penyakit Crohn
Ia adalah sejenis penyakit pada usus di mana lapisan dinding sistem pencernaan, bermula dari mulut hingga anus akan mengalami keradangan.
Namun, ia paling biasa berlaku pada usus besar.
Akibat penyakit ini, penderita akan mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah yang agak teruk. Berak berdarah adalah salah satu petandanya, jadi sila segera berjumpa doktor.
#6. Polip kolon
Buat anda yang belum tahu, polip itu adalah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada tubuh badan kita. Jangan terkejut kerana ia juga boleh tumbuh pada kawasan sekitar dinding kolon.
Mungkin ia tidak berbahaya jika masih di peringkat awal dan dirawat segera.
Namun ia boleh membesar lantas menjadi salah satu punca berak berdarah serta berkaitan dengan kondisi terakhir ini.
#7. Kanser
Berak berdarah juga adalah salah satu tanda kanser. Ini kerana kanser pada kolon dan anal adalah 2 jenis kanser yang boleh menyebabkan pendarahan ketika membuang air besar.
Apa yang membimbangkan adalah pendarahan ini kadangkala tidak dapat dikesan terutamanya jika ia masih di peringkat awal.
Oleh itu, sila lebih berwaspada dengan setiap tanda-tanda.
Sekiranya anda mengalami kondisi ini, jangan bertangguh dan segera berjumpa doktor kerana kita tidak tahu punca sebenar yang menyebabkannya.
Ujian seperti kolonoskopi, endoskopi, ujian najis dan ujian darah perlu dijalankan untuk mengetahui dalang yang menyebabkan kalian mengalami kondisi ini.
Jadi, jangan ambil mudah jika anda berak berdarah lagi okay!
sumber: Hello doktor