Siakap Keli
Gambar: Daily Star

Luluh Hati, Kisah ‘Berdarah’ Pengasuh Didakwa Tikam Dua Budak 30 & 6 Kali, Suspek Mengaku ‘Disentuh Syaitan’

Tak dapat membayangkan perasaan dua kanak-kanak apabila berhadapan pengasuh yang didakwa menikam mereka sehingga maut. Itulah yang dikatakan berlaku kepada pasangan adik beradik masing-masing berusia enam dan dua tahun.

Menurut Daily Star, dalam kejadian di New York pada Oktober 2012 itu, seorang pengasuh bertindak kejam menikam dua anak asuhannya sehingga mati di dalam tandas apartment mangsa.

Kata pihak pengurusan apartment tersebut, Michael Minahan, dia yang terdengar jeritan ibu mangsa bergegas ke unit tersebut dan menemui suspek di dalam tandas.

Pada saat itu, suspek dikatakan sedang merenung cermin tandas dengan darah mengalir dari lehernya, dipercayai telah dikelar sendiri.

“Saya dapat lihat tab tersebut dan sesuatu seperti jasad atau pakaian,” katanya yang mendakwa tidak sanggup melihat jasad mangsa.

“Saya dapat lihat darah. Saya cuba untuk tidak melihat suspek. Saya nampak merah,” katanya.

Ketika kejadian, suspek dikatakan sedang memegang pisau yang berdarah manakala sebilah lagi pisau diletakkan di dalam sinki yang bersimbah darah.

Susulan itu, Michael telah menghubungi pihak polis bagi melaporkan jenayah berkenaan.

Sebaik sahaja polis tiba, mereka mendapati lelaki itu berada dalam keadaan pucat sambil memegang pintu tandas.

“Dia (Michael) berpeluh dan menutup pintu dengan kedua-dua tangan dan kakinya. Katanya, “Apa-apa sahaja di sebalik pintu ini adalah benar-benar kejahatan”, kata salah seorang pegawai polis, Salvatore Provenzano.

Kejadian itu disifatkan seorang anggota paramedik sebagai tempat jenayah yang paling ‘berdarah’ pernah disaksikannya.

Kedua-dua mangsa didapati berada dalam keadaan kritikal dan bertindan antara satu sama lain ketika ditemui, tulis Daily Star.

Gambar: Daily Star

Darah kering, tiada sisa ketika bedah siasat -Ahli Patologi

Mangsa perempuan yang berusia enam tahun didakwa telah ditikam lebih 30 kali manakala adik lelakinya ditikam enam kali.

Pemeriksa perubatan New York, Dr Susan Ely berkata mangsa tidak terus mati dalam kejadian itu.

“Hanya beberapa tikaman yang boleh mennyebabkan kematian. Ia mengambil masa beberapa minit, bukan beberapa saat. Berdarah sehingga mati mengambil masa beberapa minit,” jelasnya.

Tambah wanita itu, kecederaan pada lengan kanak-kanak perempuan menunjukkan mangsa cuba melawan ketika diserang.

“Terdapat banyak pergerakan dan cubaan melepaskan diri daripada pisau tersebut,” katanya.

Malah, adik lelaki mangsa dipercayai telah ditikam berkali-kali sehingga ahli patologi mendapati ‘tiada darah yang bersisa di dalam badannya’ ketika bedah siasat.

Lapor Daily Star, gambar lokasi kejadian jenayah itu tidak dipaparkan pada skrin semasa perbicaraan kes berkenaan, sebaliknya diletakkan di dalam fail dan diberikan kepada juri.

Para juri bergilir-gilir melihat gambar tersebut. Bahkan, ada antara mereka yang menangis sebaik sahaja melihat foto kejadian.

Selain itu, seorang juri terpaksa dikeluarkan daripada perbicaraan itu setelah mengaku tidak mampu membuat penilaian yang adil dan saksama selepas melihat gambar dahsyat berkenaan.

Suspek mengaku ‘disentuh syaitan’, terpaksa membunuh atas suruhan

Kredit: Daily Star

Suspek yang dituduh atas kesalahan pembunuhan kelas pertama dan kedua mengaku tidak bersalah atas alasan gila.

Bagaimanapun, tiada alasan jelas diberikan suspek yang kini berusia 55 tahun atas perbuatannya itu.

Dia dikatakan mengalami halusinasi dan episod psikotik sejak usia muda. Di mahkamah, suspek mendakwa dirinya telah dipaksa melakukan jenayah itu kerana dia telah ‘disentuh syaitan’.

Tertuduh didapati bersalah atas kedua-dua dakwaan serta dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Dalam ulasannya, hakim menyifatkan tertuduh sebagai ‘pure evil’ selain menyalahkan keluarga suspek yang tidak jujur dengan keadaan wanita itu.

Sumber: Daily Star

Amira

Love yourself.