Siakap Keli

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Seru Umat Islam Di Negeri Selangor Ambil Vaksin Dan Perkasa Jawatankuasa Masjid Dan Surau

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menzahirkan sokongan dan kerjasama yang padu terhadap Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor bermula Februari 2021 sehingga kini.

Pihak MAIS melihat tindakan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor  menyediakan vaksinasi kepada rakyat bagi melindungi rakyat negara ini dari wabak COVID-19 adalah usaha murni yang perlu disokong oleh seluruh rakyat Malaysia. Pihak MAIS juga menyokong usaha Kerajaan Malaysia membangunkan vaksin sendiri bagi melawan wabak ini.

Bagi membantu pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID -19 Kebangsaan serta mencapai imuniti kelompok dengan segera, pihak MAIS mengajak umat Islam khususnya yang menetap di negeri Selangor untuk mengambil vaksin yang telah disediakan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Umat Islam diminta untuk meyakini bahawa vaksin yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia adalah halal toyyiban dan telah melalui proses penilaian yang ketat serta semakan dari semua aspek. Pihak kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa ianya selamat digunakan bagi membentuk imuniti kelompok.

Saranan MAIS ini juga adalah berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2021 yang bersidang pada 9 Februari 2021 yang telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di peringkat negeri, pihak MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memperkasa peranan ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri Selangor untuk membantu meningkatkan tahap kesedaran pendaftaran vaksin di kalangan ahli kariah. MAIS sentiasa melihat perlu ditingkatkan peranan masjid dan surau ini bukan sahaja sebagai tempat beribadah malahan sebagai pusat rujukan utama oleh ahli kariah masjid atau surau berkenaan. Ini termasuklah masjid dan surau sebagai pusat informasi dan penyebaran maklumat yang sahih kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin COVID-19.

Pada ketika ini, walaupun aktiviti-aktiviti bersemuka di masjid atau surau amatlah terhad, namun aktiviti secara atas talian boleh dilaksanakan secara meluas seperti bacaan al-Quran, ceramah, tazkirah dan sebagainya bersama ahli kariah, termasuk perkongsian dan seruan berkaitan pengambilan vaksin melalui atas talian. MAIS berharap dengan adanya pendekatan ini, sedikit sebanyak boleh menimbulkan kesedaran dan kefahaman kepada ahli kariah yang tinggal berdekatan masjid atau surau berkaitan kepentingan mengambil vaksin COVID-19.

MAIS berpandangan, keputusan yang dibuat ini juga sangat diberikan penekanan dalam Islam iaitu hifzu al-nafs, memelihara nyawa. Umat Islam disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dan mengharamkan perbuatan yang akan menyebabkan nyawa terancam dan berada dalam kebinasaan. Keputusan ini juga adalah selari dengan dalil firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil).”

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain.”

(Hadith Riwayat Ibn Majah : 2340)

Oleh itu, MAIS menyeru sekali lagi kepada semua masyarakat Islam khususnya di negeri Selangor untuk bersama membantu usaha Kerajaan Malaysia dalam memerangi penularan pandemik COVID-19 dan melancarkan lagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

TAN SRI DATO’ SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF

Pengerusi

Majlis Agama Islam Selangor

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.