Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun telah menulis sepucuk surat kepada ayahnya yang telah meninggal dunia dan tidak menyangka akan mendapat ‘reply‘ oleh seorang posmen yang baik hati.
Menurut Daily Star, Sianna Tully meminta ibunya untuk mengirim surat itu ke ‘Heaven, Cloud 9′. Maka Sarah, ibu kepada 2 orang anak ini telah membawa Sianna ke peti surat di Leicenster untuk mengirim mesej anaknya itu.
Ketika di rumah, Sianna dipercayai telah masuk ke bilik pada petang itu (Ahad, 20 Jun). Dia bertanya pada ibunya, ‘di mana Daddy tinggal?’ agar dia dapat menulis alamat pada surat yang dikarangnya.
Kata Sarah, “Saya tidak tahu apa yang tertulis di dalamnya. Saya selalu mengatakan itu antara dia dan ayahnya. Pada awalnya, saya memberitahu Sianna bahawa sudah terlambat untuk mengirim surat itu lalu dia mula menangis. Jadi, saya terus mengajaknya dan kami berjalan ke peti surat di jalan berdekatan rumah.”
Menurut sumber, ayah kanak-kanak itu telah meninggal dunia sejak dia berusia 4 bulan. Kini, sudah menjadi kebiasaan pada Sianna untuk menulis surat pada ayahnya ketika upacara khusus seperti Krismas, hari lahir dan Hari Bapa walaupun semua surat tiada sebarang balasan.
Walau bagaimanapun, foto mengenai surat hasil tulisan tangan Sianna telah tular di media sosial apabila seorang posmen berusaha mencari keluarga tersebut.
Posmen itu menyatakan, “Saya seorang posmen di daerah Braunstone. Awal hari ini saya mengosongkan peti surat di Jalan Bewicke. Saya dapati ada surat hasil tulisan tangan budak yang ditujukan kepada ayahnya di Heaven, Cloud 9. Saya berusaha mencari keluarga budak itu kerana saya ingin menghubungi mereka serta dengan izin mereka dapat berbuat sesuatu pada budak itu.”
Tambahnya lagi, “Saya sendiri kehilangan ayah saya tahun lalu dan sebagai orang dewasa saya dapati itu sukar. Jadi, saya hanya dapat membayangkan apa yang sedang dialami oleh budak ini.”
Rentetan daripada foto yang ‘viral‘ itu, Sarah baru menyedarinya setelah dia menerima puluhan ‘tag‘ di Facebook.
Jelasnya, “Saya tidak percaya apa yang saya lihat. Saya benar-benar terharu dengan balasan oleh posmen dan semua yang telah melihat ‘post’ itu. Sejak itu, saya tidak berhenti menangis. Saya tidak pernah terfikir walau sesaat bahawa akan ada orang yang menemuinya atau melakukan apa-apa dengannya. Saya hanya fikir ia akan berakhir di tong sampah.”
Sarah dipercayai telah menghubungi posmen tersebut dan mengatakan bahawa mereka telah mencipta perbualan yang paling ‘indah’ ketika itu. Dia merancang untuk mengabadikan surat dan komen-komen di sosial media itu dengan membina kotak memori agar Sianna dapat menghargainya ketika sudah dewasa.
Sumber: DailyStar.co.uk