Siakap Keli
Gambar: Bernama

Polis Tahan Lelaki Cuba Pecahkan Mesin CDM

BALIK PULAU, 24 Jun (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki yang cuba memecahkan mesin deposit tunai  (CDM) di sebuah bank di Lintang Bukit Penara, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada pihak pengurusan bank pada 10 malam yang mengesan kejadian selepas sistem penggera bank berbunyi.

“Sepasukan polis dikerah ke lokasi dan setibanya di sana polis menemukan seorang lelaki dan pemeriksaan mendapati dia telah memecahkan bahagian luar mesin CDM tersebut menggunakan absorber (penyerap hentakan) kereta untuk mengambil wang di dalam mesin berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 39 tahun itu mendakwa berbuat demikian kerana kesempitan hidup.

Siasatan mendapati lelaki yang masih bujang itu tinggal di George Town dan datang ke sini menaiki bas, semata-mata mahu melakukan jenayah berkenaan, katanya, menambah suspek juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu bertindak sedemikian atas tekanan hidup, namun siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right