Siakap Keli
Gambar Via Bernama

‘Adik Kiss’ Dan ‘Long’ Tenang ‘Bersiar-siar’ Atas Motosikal

MACHANG, 24 Jun (Bernama) — Hubungan akrab dengan binatang peliharaan seakan menjadi ‘keistimewaan’ buat Muhammad Amir Mustapa, 29, apabila ayam hutan dan kucing miliknya sentiasa ‘melekat’ dan senang dibawa ke mana-mana dengan menaiki motosikal.

Muhammad Amir berkata, adalah menjadi rutin hariannya untuk membawa ‘Long’ iaitu nama manja bagi ayam hutan dan ‘Adik Kiss’ bagi kucingnya untuk bersiar-siar hampir setiap hari, malah pernah sehingga ke Dungun, Terengganu.

Katanya, rutin itu turut menarik perhatian pengguna jalan raya yang teruja melihat situasi itu dengan mengambil peluang menangkap gambar selain ada juga menzahirkan rasa bimbang sekiranya haiwan kesayangannya itu jatuh.

“Pada awalnya saya hanya membawa ‘Adik Kiss’ menaiki motosikal. Namun, lama-kelamaan saya mula membawa bersama Long, sekali gus tidak menyangka kedua-duanya sangat tenang dan tidak banyak bergerak sepanjang berada atas motosikal.

“Malah, jika sebelum negara dilanda wabak COVID-19, saya pernah membawa kedua mereka hingga ke Dungun, Terengganu dan sepanjang perjalanan mereka hanya menikmati pemandangan dan kekal berada di kedudukannya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Cherodok, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, anak kelapan daripada 11 beradik itu berkata, dia tidak pernah melatih haiwan peliharaannya untuk berbuat demikian namun ia hanya tindakan spontan.

“Saya tidak pernah melatih kedua-duanya berbuat demikian, ia diibarat seperti tindakan spontan mungkin disebabkan hubungan akrab saya dengan Adik Kiss dan Long menyebabkan kedua-duanya tidak banyak ragam dan hanya kelihatan seakan seronok setiap kali menaiki motosikal.

“Kebiasaannya, saya akan meletakkan kedua mereka di tempat duduk belakang, malah ada juga ketika pemegang motosikal dan bahu saya menjadi tempat kegemaran mereka selain saya hanya menunggang motosikal dalam kelajuan terkawal untuk tidak membuatkan mereka berasa takut,” katanya.

Sebelum ini, aksi Muhammad Amir membawa Adik Kiss dan juga Long tular di media sosial Facebook, dan mendapat hampir 40,000 tontonan selain warganet turut menzahirkan rasa kagum dengan situasi yang dianggap luar biasa itu.

Sumber:BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story