Siakap Keli
Gambar: Facebook

Dua Lelaki Lemas Dihanyut Arus Longkang

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) — Dua lelaki ditemukan lemas dipercayai dihanyutkan oleh arus deras selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang berhampiran Masjid Taman Cendana, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata menurut saksi kejadian pada 4.14 petang itu, terdapat dua individu terjatuh ke dalam longkang sedalam dua meter.

Katanya, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama orang awam menjalankan operasi mencari dan menyelamat telah menemukan kedua-dua mangsa masing-masing seorang remaja berusia 13 tahun dan lelaki 32 tahun kira-kira 6 petang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila dua individu iaitu remaja dan seorang kanak-kanak sedang bermain di longkang itu, lalu remaja berkenaan dipercayai telah terjatuh dan dibawa air deras.

“Seorang orang awam (mangsa) yang berada di tempat kejadian telah cuba menyelamatkan remaja terbabit dengan terjun ke dalam longkang tetapi turut dibawa arus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang turut berada di lokasi kejadian bersama remaja berkenaan terselamat.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat dan operasi ditamatkan pada 6.50 petang.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'