Siakap Keli
Gambar Via Natipah Abu

Jalani Pembedahan Buang Ketumbuhan Dalam Urat Peti Suara, Aktivis Masyarakat, Kak Natipah Abu Mohon Doa Dari Orang Ramai

Sering berkongsikan mengenai pelbagai kisah meruntun hati di Facebook miliknya, aktivis masyarakat, Natipah Abu merupakan salah seorang individu yang sangat aktif dalam membantu orang-orang yang memerlukan.

Lebih mesra dipanggil Kak Pah, kebiasaannya, dia akan membuka slot Sedekah Jumaat yang memaparkan mengenai kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang tidak bernasib baik. Ia membolehkan warganet untuk sama-sama membantu dan melakukan amal kebaikan di hari Jumaat yang mulia.

Pun begitu, perkongsian Kak Pah di Facebook pada pagi ini sedikit berbeza. Dia kini berada di hospital untuk menjalani satu pembedahan bagi mengeluarkan ketumbuhan di dalam urat peti suara.

Kak Pah memohon doa dari orang ramai agar segalanya dipermudahkan dan dihilangkan segala kesakitan yang dialaminya. Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Semoga segalanya baik-baik saja dan Kak Pah diberikan kesembuhan yang segera. Amin.

MOHON DOA

“Buat masa sekarang, kita buat sebelah dulu. Kita buang dulu ketumbuhan yang menghimpit urat suara di sebelah kiri. Yang dua kecil dlm tyroid sebelah kanan tu, kita biar dulu.“

Alhamdulillah.

Keputusan Prof Dr Rohaizak, buat Kak Pah mampu menarik nafas lega. Sebelum ini, beliau merancang membuang ketumbuhan di sebelah kiri dan membuang semua tyroid kerana ada dua biji ketumbuhan juga di sebelah kanan itu.

Perancangan sebelum ini, telah membuatkan Kak Pah menangis tersedu di dalam klinik Prof Dr Rohaizak kerana antara risikonya ialah saluran pernafasan Kak Pah mungkin rosak dan tertutup semasa pembedahan.

Tiga hari tiga malam Kak Pah hilang dalam diri sendiri sebelum akhirnya kembali berpaut pada ketentuan Illahi, redha dan pasrah.

Betapa tidak, jika itu terjadi, leher terpaksa ditebuk utk bernafas dan makan juga melalui tiub di hidung buat sementara waktu.

Terkedu bila dimaklumkan tempohari bahawa secara klinikalnya ketumbuhan yang merosakkan peti suara itu , 95 % ialah kanser tahap 2 tetapi masih ada harapan bahawa 5 % bukanlah kanser selagi sel belum diuji.

Analisa terkini membawa harapan bila hasil biopsi, tiada sel kanser yang ditemui. Bagaimana pun, untuk keputusan lebih tepat, sel yang dikeluarkan melalui pembedahan nanti akan dihantar ke makmal untuk diuji. Jika ya, maka barulah prosuder seterusnya diambil.

“Sama-samalah kita doakan agar ketumbuhan tu bukanlah kanser dan Puan termasuk dalam golongan 5% tu. “

Secara peribadi, Prof Dr Rohaizak, seorang pakar bedah yang disegani kerana telah mendidik ramai pakar bedah luar sana itu juga berharap ketumbuhan yang ada itu, bukanlah kanser.

Di pihak Prof Dr Marina pula, jika ketumbuhan itu dapat dikeluarkan dengan “ cantik “ maka beliau akan meneruskan prosuder hanya dengan suntikan sahaja.

Tetapi seandainya proses mengeluarkan ketumbuhan itu mengganggu urat peti suara, maka urat itu terpaksa dipotong dan diganti dengan urat baru.

Kepakarannya itulah, antara faktor yang menjadikan nama Prof Dr Marina disebut-sebut sebagai salah seorang pakar terbaik di Malaysia.

Hari ini, Jam 2 30 petang.

Kak Pah akan disorong masuk ke dewan bedah. Team Prof Dr Rohaizak akan mendahului pembedahan dan sesudah beliau selesai, akan disambung pula oleh team Prof Dr Marina.

“Semoga dengan berkat doa tulus ikhlas dari semua sahabat di luar sana dan dengan rahmat kasih sayang Allah SWT dipermudahkanlah segala urusan, diangkatlah segala kesakitan dan sembuhlah hambanya ini seperti sediakala hendaknya. Amin.”

Jumaat yang barakah, Kak Pah menumpang berkat doa dari semua. Doakan Kak Pah ya.

Sumber: Natipah Abu

Sofea

There's always another side to every story