Siakap Keli
Gambar: Mothership

(Video) Polis Singapura Tahan 5 Lelaki, Dipercayai Cuba Memasuki Singapura Dengan Cara Berenang

Lima lelaki dilaporkan telah ditahan kerana disyaki cuba memasuki Singapura secara berenang, lapor portal Mothership.

Menurut pasukan Polis Singapura, lelaki yang berusia diantara 21 dan 38 tahun itu telah ditahan pada 24 Jun.

Kemasukan secara haram itu didakwa berlaku melalui Tuas pada jam 4:45 pagi.

Satu video yang dikeluarkan oleh pihak polis memaparkan kelima-lima lelaki tersebut menghampiri pantai dan kemudiannya menuju ke kawasan hutan di Jeti Lube Park, yang berhampiran dengan kilang kimia.

Susulan pergerakan mereka berjaya dikesan, pegawai dari Pasukan Pengawal Pantai, Bahagian Polis Jurong, Kontinjen Gurkha dan Pusat Operasi Khas segera dikerahkan untuk menangkap lima lelaki berkenaan.

Selepas berjaya ditangkap, mereka telah dirujuk ke Lembaga Imigresen dan Pusat Pemeriksaan untuk siasatan lebih lanjut.

Komander Polis Pantai, Senior Asisten Komisioner Polis Cheang Keng Keong, menambah dalam kenyataan media bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah tersebut.

Terdahulu, pada 17 Jun, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan bahawa seorang lelaki Indonesia yang memasuki perairan Singapura tanpa dokumen yang sah telah disahkan positif COVID-19.

Agensi berita CNA melaporkan bahawa lelaki tersebut adalah antara lima lelaki yang ditangkap kerana cuba masuk secara haram ke Singapura selepas mereka berjaya dikesan berenang di perairan Changi pada 14 Jun.

Di bawah akta imigresen negara itu, pesalah yang memasuki Singapura secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan hukuman sebatan tidak kurang dari tiga sebatan.

Sumber: Mothership

"