Sebut sahaja bil air, ianya sudah menjadi kewajipan dan komitmen setiap bulan untuk dibayar. Pembayaran bil air secara dalam talian (online) adalah merupakan kaedah yang paling praktikal tanpa perlu beratur panjang di kaunter lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini. Ingat, kan tak perlu keluar rumah tanpa sebarang urusan penting!
Bagi penduduk di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, pengaksesan maklumat akaun dan pembayaran bil boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja hanya dihujung jari melalui kemudahan yang tersedia di Aplikasi Air Selangor.
Bermula 1 Julai 2021, pengaksesan penuh pada ciri-ciri maklumat akaun di Aplikasi Air Selangor seperti semakan & muat turun bil air bulanan, pembayaran bil, sejarah bil, rekod pembayaran dan trend penggunaan air hanya terhad kepada pelanggan yang telah mendaftar e-Bil sahaja.
Sekiranya anda masih tidak lagi mendaftar e-Bil, butiran maklumat akaun pada Aplikasi Air Selangor anda tidak akan dapat diakses. Anda hanya boleh mengetahui maklumat gangguan bekalan air, membuat pembayaran bil air, serta melihat jumlah amaun terkini bil air anda. Sangat rugi kerana anda dah tak boleh menyemak bil sebelum ini dan perlu ke kaunter atau menghubungi pusat panggilan Air Selangor.
Jadi, penduduk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya jangan ketinggalan untuk mendaftar e-Bil segera sebelum 1 Julai ini untuk mendapatkan akses penuh maklumat akaun pada Aplikasi Air Selangor dengan mengikut panduan mudah yang kami sediakan di bawah ini.
Langkah-langkah mudah mendaftar e-Bil Air Selangor
1) Muat turun aplikasi Air Selangor menerusi Google Play, App Store atau Huawei App Gallery.
2) Buka aplikasi Air Selangor yang telah dimuat turun di telefon bimbit anda.
- Daftar masuk: Bagi pelanggan yang sudah membuat pendaftaran di Aplikasi Air Selangor atau Portal Pelanggan Air Selangor.
- Pendaftaran: Bagi pelanggan yang pertama kali membuat pendaftaran di Aplikasi Air Selangor atau Portal Pelanggan Air Selangor.
- Bayaran: Bagi pelanggan yang ingin membuat pembayaran bil air bulanan tanpa mendaftar masuk di Aplikasi Air Selangor.
3) Pendaftaran Baru (First time registration user)
- Klik pada PENDAFTARAN (Register).
- Isi semua butiran maklumat pelanggan pada ruangan yang diminta.
- Klik Saya Setuju (I Agree) pada bahagian Akta Data Keselamatan Peribadi (PDPA).
- Masukkan 6-digit Kod Pengesahan (Verification Code) yang akan dihantar ke nombor telefon bimbit yang didaftarkan.
- Pelanggan akan menerima notifikasi untuk Pendaftaran berjaya dilakukan.
4) Daftar masuk ke maklumat akaun
- Klik pada DAFTAR MASUK.
- Masukkan alamat emel dan kata laluan yang telah didaftarkan.
- Klik pada DAFTAR SEKARANG.
Hanya dengan ikuti langkah mudah seperti dibawah untuk membuat pendaftaran akaun bil air dan pendaftaran e-Bil di Aplikasi Air Selangor :
- Pilih status Pemilikan premis (Pemilik atau Penyewa).
- Klik “Saya Setuju” pada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
- Masukkan Nombor Akaun.
- Notifikasi (Pop-Up) untuk pendaftaran e-Bil akan keluar.
- Klik pada kotak persetujuaan penerimaan e-Bil.
- Klik pada “Teruskan untuk Pendaftaran”.
- Pilih kaedah penerimaan e-Bil (Melalui WhatsApp atau Emel).
- Masukkan Nama Paparan Akaun.
- Tekan “Selesai”.
- Pendaftaran e-Bil telah berjaya dan anda boleh melihat Maklumat Akaun anda.
Nota: Sekiranya pendaftaran akaun bil air telah dilakukan sebelum ini, apabila pengguna Daftar masuk, pengguna akan terus ke paparan Maklumat Akaun. (Langkah 5)
5) Maklumat Akaun
- Pengguna dapat melihat bil air bulanan, penggunaan bulanan, sejarah pembayaran bil air.
- Pengguna juga boleh membuat Pembayaran Bil Air secara terus dengan hanya Klik pada BAYAR.
6) Pembayaran Bil Air
- Bagi membuat pembayaran bil air secara dalam talian, pengguna boleh klik pada butang BAYAR.
- Pengguna akan dipautkan pada pautan pembayaran melalui kaedah FPX.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari laman web Pengurusan Air Selangor di www.airselangor.com atau Facebook Air Selangor.
Ayuh penduduk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kita daftar e-Bil sekarang juga untuk memudahkan urusan!