KUANTAN, 26 Jun (Bernama) — Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan masa dihabiskan di rumah, menuntut ibu bapa, khususnya yang mempunyai anak-anak masih kecil, menjadi kreatif bagi memastikan anak mereka tidak bosan.
Kek dekorasi sendiri atau kek DIY antara yang menjadi trend di sini, kerana selain harga berpatutan, si anak dapat menghias kek mengikut kreativiti mereka sebelum dihidang untuk dinikmati bersama keluarga.
Suri rumah Norhafizah Hamzah, 46, berkata jika sebelum pelaksanaan PKP, mereka sekeluarga sering beriadah di luar, kini dia dan anaknya Nurzahra Saffiya Mohd Sharizan,10, menjadikan aktiviti menghias kek sebagai antara kegiatan kegemaran semasa PKP 3.0 ini.
“Set kek DIY itu saya beli selepas melihat iklan di laman sosial untuk dilakukan bersama anak yang agak bosan apabila hanya duduk di rumah, dan dengan aktiviti itu juga saya dapat lihat kreativiti anak dalam menyesuaikan atau memadankan warna krim kek untuk menghasilkan corak yang menarik.
“Saya hanya pantau atau kadang-kadang beri sedikit panduan kepadanya untuk hasilkan kek yang cantik, namun kebiasaannya dia ada cita rasa yang tersendiri untuk dihidangkan kepada adik-beradiknya yang lain,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Katanya kek yang dihias anaknya itu turut menjadi pemanis mulut mereka sekeluarga pada sambutan Hari Bapa baru-baru ini.
Bagi Hazirah Anim Halimi, 29, aktiviti menghias kek itu dapat mengalihkan perhatian anaknya daripada skrin telefon pintar dan televisyen.
Katanya bahan-bahan yang disediakan, terutama krim kek tersebut, mesra kanak-kanak apabila anaknya Bazilah Aishah Mohd Bahir yang baru berusia empat tahun pun dapat mengendalikannya.
“Bila duduk di rumah aktiviti anak-anak terhad dan ini merupakan aktiviti baharu kami sekeluarga dan anak saya sudah mula menunjukkan minat dalam menghasilkan kek,” kata ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, pemilik bakeri di Batu 6 di sini, Nor Anita Ahmad, 45, berkata pemintaan terhadap kek dekorasi sendiri tersebut meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh sebulan, menyaksikannya menghasilkan 70 pek sehari berbanding sekitar 30 pek pada awal bulan ini.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata setiap pek dijual pada harga RM20, mengandungi sebiji kek berperisa vanila bersaiz enam inci, krim berwarna merah, kuning dan biru, selain pelanggan juga akan menerima perhiasan seperti manik, marsymalo (marshmallow), lilin dan pisau pemotong kek.
Setiap pembelian disertakan video penjagaan dan panduan untuk pelanggan menghasilkan kek yang menarik.
“Perniagaan kek ini bermula selepas saya bertukar-tukar idea dengan seorang rakan untuk mempelbagaikan lagi jualan bersesuaian dengan suasana PKP yang mana orang ramai banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga.
“Tidak sangka mendapat sambutan dan ada pelanggan yang beberapa kali ulang membuat pesanan dan kini menjadi trend aktiviti terbaharu ibu bapa bersama anak mereka,” katanya yang mengusahakan perniagaan bersama anak sulungnya Nukman Nurhan Nahmar, 23, dan dibantu lima pekerja.
Sumber: BERNAMA