Siakap Keli

Tular Gambar Makan Durian, Polis Panggil Selebriti Bergelar Datuk

Seorang penyanyi bergelar Datuk akan dipanggil polis untuk diambil keterangan berhubung penularan gambar melibatkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian tersebut didakwa berlaku dalam satu majlis sosial di sebuah ladang Kampung Poh, Bidor, Tapah pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail memetik Sinar berkata, polis akan turut memanggil beberapa individu lain dipercayai peniaga dan penduduk kampung dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Polis mengesan penularan gambar majlis sosial di laman Facebook melibatkan selebriti dan beberapa individu kira-kira jam 2 petang hari ini (Sabtu).

“Dalam penularan gambar tersebut terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu, memetik Sinar.

Menurut Wan Azharuddin, siasatan mendapati gambar tular itu diambil oleh individu yang turut serta dalam majlis tersebut di mana turut melibatkan aktiviti seperti jamuan dan berkaraoke.

“Turut hadir dalam perjumpaan tersebut terdiri dalam kalangan ahli perniagaan tempatan serta beberapa penduduk kampung selain melakukan aktiviti jamuan serta berkaraoke.

“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya, lapor Sinar.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, masyarakat juga hendaklah sentiasa sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Sumber: Sinar Harian

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.