Dalam kehidupan seharian, kebersihan tubuh badan perlu sentiasa dititikberatkan oleh semua orang. Hal ini kerana tubuh kita telah terdedah dengan pelbagai kotoran yang bukan sahaja ketika di luar, malah sewaktu di dalam rumah juga. Jadi, sebaiknya kita perlu bersihkan segala daki-daki yang terkumpul terutamanya di pelipat badan ketika mandi.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah orang yang mengalami keadaan tidak dapat menanggalkan kotoran hitam di celah pelipatnya kerana ia ternyata bukan daki badan tetapi kulit berkerak.
Menurut perkongsian oleh Public Health Malaysia(PHM) menerusi Facebook, keadaan kulit berkerak yang kehitaman dan mempunyai permukaan seperti kain baldu bukanlah daki sebenarnya.
Tambah PHM, keadaan itu dikenali sebagai akantosis nigrikans. Ianya dikatakan berlaku akibat kerintangan insulin pada bahagian kulit yang kebiasaannya terhadap individu yang mempunyai berat badan berlebihan.
Keadaan ini dikatakan boleh menjadi petanda awal penyakit diabetes. Maka, PHM menyarankan agar individu yang mengalami keadaan seperti ini dapat menurunkan berat badan mereka.
Sumber: Public Health Malaysia