Baru-baru ini, tular sebuah bangunan yang runtuh di Miami, Florida dan seramai 159 orang masih belum ditemui gara-gara asap kebakaran yang tebal dan menghalang usaha menyelamatkan mangsa. Tragedi tersebut berlaku pada Khamis lepas (24/6) dan seramai empat orang telah maut, lapor portal Independent.

Kini, angka kematian dilaporkan telah meningkat kepada sembilan orang ketika pasukan penyelamat menggali parit untuk mencari mangsa runtuhan tersebut.

Menurut Datuk Bandar, Daniella Levine Cava dari Miami-Dade County, “Sehingga hari ini, satu mangsa meninggal dunia di hospital. Kami telah menemui empat mangsa lagi di lokasi kejadian. Jadi, saya mengesahkan hari ini bahawa jumlah kematian adalah sembilan. Ucapan takziah saya kepada rakan-rakan, keluarga dan komuniti bagi mangsa yang meninggal dunia.”
Pihak berkuasa dikatakan belum mengumumkan lagi nama lima mangsa terbaru kepada orang ramai.
Jelas Daniella, mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk mengenal pasti mangsa yang telah ditemui dan akan menghubungi anggota keluarga mereka secepat mungkin.
Tragedi itu dilaporkan kira-kira 150 orang mangsa lagi yang masih belum ditemui sejak bangunan Champlain Towers South 12 tingkat itu runtuh.

Menurut sumber, pasukan pencari dan penyelamat dapat menemui mayat tambahan setelah parit sepanjang 125 kaki digali melalui runtuhan selebar 20 kaki dan kedalaman 40 kaki. Parit tersebut telah membantu pekerja penyelamat menemui lebih banyak mayat ketika mereka terus mencari mana-mana mangsa yang masih hidup.

Sewaktu ditanya sampai bila tempoh jangka masa pencarian tersebut sebelum beralih ke pemulihan, para pegawai memaklumkan bahawa mereka akan terus bergerak dan berharap agar misi menyelamat tetap bersambung. Sehingga kini, pencarian mangsa dikatakan telah dijalankan selama empat hari.

Ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang hilang dalam kejadian runtuh itu dikatakan masih menunggu sebarang berita mengenai nasib mangsa.
Punca keruntuhan dikatakan masih belum diketahui, namun berdasarkan laporan 2018 struktur bangunan itu, terdapat kerosakan struktur di dalam kondominium.
Sumber: Independent.co.uk, Edition.cnn.com