Seorang ‘rider‘ makanan di Singapura tertangkap di kamera apabila dia berjalan ke pintu depan rumah pelanggan dan menari dengan gerakan luncur ke belakang seperti ada penonton yang melihatnya. Lelaki itu dilihat begitu ‘enjoy‘ dengan pekerjaannya.
Menurut portal Mothership, aksi itu sengaja ditunjukkan pada kamera pengintip di depan pintu seolah-olah dia mengetahui seseorang akan menontonnya, dan ternyata dia benar.
Rakaman aksi ‘rider‘ itu dilaporkan telah tular di Facebook pada Isnin lepas (21/6) dan berjaya meraih perhatian dan penghargaan meluas oleh warganet berbanding kebiasaan cerita seram yang dikongsikan.
Melalui rakaman video itu, ‘rider‘ yang memakai topi keledar dan topeng muka itu dipercayai muncul dari koridor sambil memegang beg plastik makanan. Dia dikatakan telah membuat pelbagai gaya sebelum menggantung beg plastik makanan itu di depan pintu rumah pelanggannya.
Malah, lelaki itu sempat memberikan ‘thumbs up‘ di hadapan kamera pengintip itu dan menunjuk aksi bina badan sebelum beredar.
Video yang dikongsikan itu telah mendapat pelbagai respon daripada warganet yang kebanyakannya terhibur dengan telatah keanak-anakan ‘rider‘ itu. Ada yang mengatakan kemungkinan kerjanya telah selesai dan dia layak mendapat insentif.
Ada juga yang menduga kemungkinan dia kenal dengan penghuni flat tersebut dan kebetulan mengirimkan makanan ke rumah rakannya.
Sumber: Mothership.sg