Siakap Keli

Tiada Ruang Untuk Positiviti Toksik Pada Ketika Ini

29 Jun 2021, KUALA LUMPUR: Isu kesihatan mental semakin meningkat selari dengan suasana pandemik kini. Majikan dan pekerja perlu berusaha dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif demi menjaga kesihatan mental pekerja.

Secara lazimnya, langkah-langkah ini termasuklah komunikasi berkumpulan yang konsisten dan gaya pengurusan yang bukan hanya berdasarkan urusan kerja semata-mata.

Menurut pensyarah dan pakar psikologi klinikal, Asst. Prof Dr Pamilia Lourdunathan, terdapat teknik dalam cara pengurusan dan komunikasi. Seseorang itu juga harus berhati-hati dan peka dengan gaya pertuturan mereka.

“Terdapat anggapan bahawa seseorang itu harus sentiasa bermotivasi tinggi dan kekal optimis. Namun begitu, pendekatan begini tidak sesuai bagi mereka yang sedang  mengalami kesepian emosi, tekanan mental dan kelesuan dalam tempoh yang mencabar ini. Meminta mereka untuk melihat dari sudut positif mungkin tidak membantu malahan dapat membahayakan lagi individu tersebut dari aspek psikologi,” kata Pamilia .

Tambah Pamilia lagi, hanya menumpukan kepada sudut positif dan mengabaikan topik serta isu yang membawa kesan negatif terhadap emosi hanya akan mengaburkan punca sebenar masalah kegelisahan, kemurungan, kesedihan dan sebagainya.

Ujar beliau, “Kata-kata yang sering diungkapkan seperti ‘perkara ini mungkin lebih teruk’, ‘kekalkan positif’ atau ‘bersyukurlah’ untuk menutup perbincangan tentang keadaan emosi seseorang merupakan contoh bentuk positiviti toksik.”

Perkara ini boleh mendorong emosi negatif yang lebih serius jika dibiarkan mungkin akan mengakibatkan masalah kesihatan mental.

Sebaliknya, Pamilia mencadangkan adalah lebih baik jika keperitan seseorang itu diperakui dan mereka diberikan ruang untuk mendalami dan mengekspresikan apa yang mereka lalui tanpa halangan.

Menurut beliau, corak dan nada perbualan perlu diubah daripada kata-kata seperti, ‘semuanya akan baik-baik kemudian’ dan ‘anda perlu positif dan terus maju kehadapan’ kepada ‘tidak mengapa kalau perasaan tidak okay’, dan ‘mari kita cari penyelesaian sama-sama’. Amalan begini membolehkan kita untuk fokus kepada perasaan dalaman dan seterusnya dengan kasih sayang dapat membawa perubahan positif.

Menurut beliau, itulah sikap yang munasabah dan seimbang.

“Keseimbangan antara memperakui keperitan yang dialami dan memberi ruang untuk bersyukur dapat membentuk respon emosi yang tulen. Kesyukuran yang tulen adalah lebih sihat dan ia mampu mengalihkan ubah corak pemikiran seseorang ke arah positif.”

Berkaitan kesyukuran yang tulen, seorang pendidik amalan kehidupan yang realisitk dan juga pengasas Signature Market, Edwin Wang berpendapat bahawa kesyukuran menjadikan emosi beliau lebih stabil oleh demikian, beliau dapat membuat keputusan yang lebih tepat. Ini membawa hasil yang positif terhadap perniagaan beliau di kala pandemik.

“Sebagai seorang pemimpin dalam organisasi, mempraktikkan rasa syukur adalah sesuatu yang penting kerana apa yang saya percayai, saya akan menjadikannya kenyataan. Saya selalu memilih untuk mempercayai bahawa saya mempunyai pasukan yang terbaik. Walau bagaimana pun prestasi atau hasil mereka, saya selalu mengingatkan diri bahawa mereka telah melakukan sebaik mungkin,” ujar Wang.

Tambah beliau lagi, corak pemikiran berkepimpinan adalah sangat penting. Berdasarkan pemerhatian beliau,  terdapat segelintir pekerja yang kurang kepercayaan pada diri sendiri dan ini akan mempengaruhi prestasi dan reputasi mereka.

Beliau berkata, “semua pekerja sebenarnya mahu melakukan pekerjaan dengan baik tapi tanpa disedari, mereka mempunyai fikiran negatif, sebagai seorang pemimpin saya menggunakan model ‘Body, Emotion, Language’ (BEL) dalam konsep ontologi untuk membimbing mereka. Saya mewujudkan suasana yang telus dan membawa kesedaran terhadap permikiran mereka. Melalui kesedaran itu, mereka bukan bertindak mengikut tingkah laku automatik, tapi mereka sekarang ada pilihan.

Pengasas e-dagang langsung-ke-pengguna (D2C) tersebut mencadangkan supaya diadakan sesi bulanan bersama semua pekerja untuk menghargai mereka. Apabila pekerja berasa dihargai, mereka akan bangga dengan kemampuan diri sendiri. Sikap yakin terhadap diri adalah penting kerana mereka tidak perlu ada kemahiran yang luar biasa untuk berjaya. Apabila mereka yakin terhadap keunikan diri, mereka sudah pun menjadi luar biasa.

Sebenarnya, budaya ini telah diamalkan di kalangan pasukan Signature Market sejak 3 tahun lepas. Pada masa kini, walaupun bekerja dari rumah, mereka masih kerja berpasukan bersama-sama  bagi mencapai tujuan yang diimpikan.

“Pemikiran adalah kunci bagi mewujudkan organisasi inovatif yang bertaraf dunia di Malaysia. Syarikat-syarikat tempatan secara umumnya, masih belum mencapai tahap ini. Perihal ini bukan sekadar menyediakan ‘bean bags’ yang berwarna-warni dan meja ping pong di ruang pejabat, ia adalah tentang bagaimana pihak pengurusan itu menjaga kebajikan aset terbesar syarikat iaitu pekerja mereka,”kata Wang.

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.