Malaysia terima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun esok dan 1 juta lagi vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat pada lusa, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Jelasnya Malaysia amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan berkenaan yang melambangkan keprihatinan serta kepercayaan kedua-dua negara itu terhadap kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi COVID-19 di negara ini dan sebagai sokongan terhadap program imunisasi global.
“Bekalan ini akan dapat memperhebat PICK dan bantu Malaysia mencapai nilai-nilai ambang yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kesemua vaksin yang telah diperoleh akan diedarkan segera ke semua fasiliti dan PPV untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau juga memaklumkan bahawa seramai 400 petugas Parlimen akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini di beberapa PPV sekitar ibu negara.
Beberapa PPV mega juga akan mula beroperasi pada kadar lebih tinggi hari ini dengan pelaksanaan suntikan dos kedua, antaranya PPV KLCC yang kapasitinya akan meningkat kepada 8,000 dos suntikan sehari dan PPV Setia City akan meningkat kepada 6,000 dos suntikan sehari, kata Khairy.
“Semua fasiliti terlibat telah dipersiapkan untuk menampung kadar vaksinasi lebih tinggi bagi memastikan kelancaran operasi dan untuk mengelakkan kesesakan di PPV mega kita,” katanya.
Malaysia terima sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun esok dan 1 juta lagi vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat pada lusa – @Khairykj @JKJAVMY @KKMPutrajaya @DrAdhamBaba @DGHisham pic.twitter.com/OBu3kfAm8V
— BERNAMA (@bernamadotcom) June 30, 2021
Sumber: Bernama