Siakap Keli

Phuket Dibuka Hari Ini, Kerajaan Thailand Guna Dasar ‘Phuket Sandbox’ Yang Mungkin Boleh ‘Ditiru’ Negara Lain

Walaupun gelombang jangkitan COVID-19 di Thailand masih belum reda, namun negara Gajah Putih itu tidak teragak-agak untuk menghidupkan semula sektor pelancongannya.

Difahamkan, 95 peratus sumber ekonomi Thailand adalah bergantung pada sektor pelancongan. Justeru pandemik ini ternyata memberi impak yang buruk kepada ekosistem ekonomi negara.

Bagaimanapun pada 1 Julai hari ini, secara rasminya Thailand membuka kembali ‘pintu masuk’ ke destinasi percutian ulungya, Phuket kepada pelancong-pelancong luar yang ‘dahagakan’ keindahan perairannya.

Menariknya, pembukaan Phuket ini bukanlah sekadar beroperasi macam kebiasaannya (seperti sebelum pandemik), namun ia dijalankan dengan lebih ‘selamat’ di bawah rancangan pemulihan pelancongan ‘Phuket Sandbox’.

Gambar: Facebook

Macam mana Phuket Sandbox berfungsi?

Berikut di bawah adalah beberapa polisi pelancongan Phuket Sandbox yang dijalankan kerajaan:-

1) Negara risiko rendah – Thailand hanya akan membuka pintu masuk ke Phuket bagi negara-negara berisiko rendah dan sederhana, termasuklah dari Eropah, US dan Kanada.

2) Wajib vaksin – Menerusi dasar ini, kebenaran masuk untuk melancong di Phuket hanya akan dibenarkan kepada pelancong-pelancong yang sudah diberi suntikan vaksin COVID-19 sahaja.

3) Buktikan sudah divaksin – Bagi pelancong dewasa, mereka perlu melampirkan bukti sudah divaksinasi sekurang-kurangnya dua dos, selain turut memberi hasil keputusan saringan COVID-19 negatif yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum terbang dari negara asal.

Gambar: Facebook

4) Wajib ada insurans perlindungan – Pelancong perlu memiliki insurans perlindungan kesihatan bagi rawatan sekiranya dijangkiti virus dengan kadar sekurang-kurangnya RM416,000 setiap seorang sebagai persediaan kendiri.

5) Wajib patuh SOP –  Pelancong turut diwajibkan memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan menjalani saringan COVID-19 sebanyak tiga kali dengan kos tanggungan sendiri bernilai RM1,200 dan keputusannya mestilah negatif.

6) Bebas beraktiviti tanpa sekatan – Pelancong diberi kebebasan menikmati segala aset pelancongan seperti mandi-manda di pantai, bermain jet-ski atau makan di restoran di seluruh Phuket tanpa ada sekatan.

7) Kuarantin sebelum pulang – Difahamkan, pelancong akan dikuarantin selama 14 hari terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar dari Phuket dan menuju ke daerah lain di Thailand atau pulang ke negara asal. Ini bagi memastikan mereka ‘bersih’ daripada pembawakan virus sebelum keluar.

Menariknya, sebelum dasar ini bermula hari ini, kira-kira 70 peratus daripada 450,000 penduduk Phuket termasuk pekerja hotel dan pelancongan sudah pun menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos.

Ini adalah persediaan awal kerajaan dalam memastikan keseluruhan pulau itu mempunyai imunisasi kelompok yang meyakinkan dan ‘ampuh’ sebelum menerima kunjungan pelancong luar.

“Ini bukan kuarantin, ini percutian.”

Gambar: Facebook

Sementara itu Presiden Persatuan Hotel Phuket, Anthony Lark berpendapat, dasar Phuket Sandbox yang dibawakan kerajaan ini adalah sangat bagus kepada industri pelancongan tempatan dan pihak pelancong.

Pada Anthony, keseronokan memukau yang ada di seluruh Phuket akan menjadikan fasa kuarantin pelancong-pelancong itu tidak bosan kerana terkurung namun sebaliknya meriah.

“Untuk mereka yang agak lama ‘terperap’ dalam rumah masing-masing sehingga 16 bulan lamanya, terbanglah ke Thailand. Di sini ada pantai dan anda adalah tetamu.

“Ya, anda akan dikuarantin. Tapi anda dikuarantin dalam kawasan seluas 500 kilometer persegi ini, anda akan dapat menikmati keindahan taman negara, bermain golf dan boleh menyelam..ini sebenarnya bukanlah kuarantin,” jelasnya, memetik laporan AP.

Difahamkan, dasar Phuket Sandbox ini mungkin akan diguna pakai dan dimulakan di beberapa lokasi serta lokaliti tumpuan pelancongan lain di Thailand sebagai usaha merancakkan semula ekonomi negara.

Gambar: Facebook

Sumber: AP News / Facebook

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.