Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Purata Dua Kes Bunuh Diri Berlaku Setiap Hari Dari 2019 Hingga Mei 2021, Masalah Duit Dan Tekanan Antara Punca

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dato’ Sri Abd Jalil Hassan mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan makluman statistik kes bunuh diri, pagi tadi.

Kes bunuh diri yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 kes. Manakala pada tahun 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei 2021 pula berjumlah 468 kes. Secara purata, dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021.

Sepanjang tempoh bagi tahun 2019 hingga Mei 2021, pecahan mengikut jantina adalah seramai 281 orang lelaki dan 1,427 orang wanita telah dilaporkan membunuh diri. Kebanyakan mangsa yang terlibat adalah berumur 15 hingga 18 tahun iaitu berjumlah 872 orang dan mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.

Negeri Johor telah mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2021 iaitu sebanyak 101 kes. Manakala pada tahun 2021 (Januari hingga Mei) pula, negeri Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 117 kes.

Siasatan turut mendapati tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri ini iaitu mangsa menghadapi masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

Cara membunuh diri yang kerap berlaku adalah gantung diri (75.1%), terjun bangunan (13.6%), dan minum racun (5.7%).

Berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini. Individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan, masalah keluarga dan sebagainya haruslah diberi bantuan serta sokongan daripada pihak keluarga dan rakan-rakan terdekat.

PDRM menyeru individu yang mengalami masalah dan tekanan seperti yang dinyatakan di atas supaya mendapatkan bantuan serta sokongan daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan juga pihak-pihak yang menyediakan khidmat nasihat.

Sumber: PDRM

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.