Siakap Keli
Gambar: Hello Doktor

Jangan Ambil Mudah, Ini Antara 11 Penyakit Menanti Jika Obes, Kena Turunkan Berat Badan

Memiliki tubuh badan yang ideal bukanlah mudah, tetapi tidak mustahil dengan usaha dan disiplin yang berterusan. Bagi mereka yang sedang ‘berjinak-jinak’ untuk mengurangkan berat badan tu, jangan mengalah dan terus berusaha dengan sabar.

Kita pasti tidak inginkan pelbagai penyakit mengundang secara tiba-tiba, bukan? Jadi, jaga kesihatan tubuh badan dan elakkan daripada makan terlalu banyak dan tidak terkawal sehingga mengakibatkan kita menjadi obesiti.

Apabila tubuh badan menjadi obesiti, kita harus lebih berwaspada kerana lebih banyak penyakit yang ‘mengintai-intai’ kita. Nak tahu penyakit apa yang berisiko terkena pada mereka yang obesiti? Ikuti perkongsian oleh portal Hello Doktor di bawah.

Ramai orang tahu bahawa obesiti boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Antara bahaya kegemukan ialah tekanan darah tinggi dan juga diabetes. Untuk pengetahuan anda, terdapat pelbagai lagi akibat kegemukan yang boleh berlaku disebabkan oleh obesiti.

Ini 11 komplikasi buruk jika anda mengalami obesiti.

Akibat kegemukan 1: Tekanan darah tinggi

Obesiti ialah faktor risiko utama bagi kes tekanan darah tinggi.

Apabila mempunyai berat badan yang berlebihan, jantung anda akan bekerja keras untuk mengepam darah ke seluruh tubuh badan.

Dalam masa yang sama, proses mengepam darah ini akan memberikan tekanan yang kuat pada arteri atau salur darah.

Saluran darah anda pula tidak mahu mengalirkan darah dengan tekanan yang kuat ini.

Ini yang menjadikan tekanan darah meningkat.

Bahaya kegemukan 2: Kolesterol tinggi

Obesiti menyekat tindak balas terhadap perubahan jenis lemak yang anda makan.

Obesiti boleh meningkatkan jumlah kolesterol LDL atau kolesterol jahat yang dihasilkan oleh hati.

Ia juga mengurangkan pelepasan kolesterol LDL daripada darah anda.

Akibat kegemukan 3: Strok

Berat badan berlebihan juga menyebabkan hipertensi, yang merupakan salah satu penyebab utama strok.

Kesan lain akibat daripada obesiti ialah metabolisme tubuh berubah dengan cara yang membawa kepada lipid yang berlebihan, kolesterol yang tinggi, dan glukosa darah tinggi.

Akibatnya, kesemua ini boleh merosakkan saluran darah dan menyebabkan pembentukan gumpalan darah yang menjadi penyebab strok di jantung dan juga otak.

Bahaya kegemukan 4: Diabetes jenis 2

Obesiti boleh menyebabkan peningkatan kadar asid lemak dan keradangan, yang menyebabkan ketahanan atau kerintangan insulin.

Ini seterusnya boleh menyebabkan diabetes jenis 2 berlaku.

Diabetes jenis 2 ialah jenis diabetes yang paling biasa berlaku dan menyumbang kira-kira 90% kes diabetes di seluruh dunia.

Akibat kegemukan 5: Kanser

Hubungan antara obesiti dan risiko kanser sangatlah jelas.

Penyelidikan menunjukkan bahawa lemak badan yang berlebihan boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat beberapa jenis kanser, termasuklah kanser kolorektal, payudara, rahim, esofagus, ginjal dan pankreas.

Pakar perubatan percaya ia berpunca daripada keradangan yang disebabkan oleh lemak viseral iaitu jenis lemak yang mengelilingi organ penting anda .

Bahaya kegemukan 6: Asma

Menurut Persatuan Paru-paru Amerika, berat badan yang berlebihan di sekitar dada dan juga perut mungkin menyempitkan paru-paru dan menjadikannya lebih sukar untuk bernafas.

Tisu lemak juga menghasilkan bahan keradangan yang boleh merosakkan fungsi paru-paru dan menyebabkan asma.

Akibat kegemukan 7: Penyakit buah pinggang

Berat badan berlebihan juga boleh mempengaruhi buah pinggang anda.

Berat yang berlebihan akan memaksa buah pinggang untuk bekerja lebih keras dan menyaring sisa tubuh melebihi tahap normal.

Lama-kelamaan, kerja tambahan ini meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.

Ingatlah, sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, maka buah pinggang anda juga harus bekerja lebih keras.

Bahaya kegemukan 8: Osteoartritis

Obesiti juga meningkatkan peluang anda untuk mendapat osteoartritis sebanyak dua kali ganda.

Selain itu, individu obes yang mempunyai osteoartritis pada satu sendi lutut, juga akan mengalami risiko osteoartritis sebanyak lima kali ganda pada sendi lutut yang lain berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.

Akibat kegemukan 9: Penyakit pundi hempedu

Berat badan berlebihan juga boleh membuatkan anda lebih cenderung untuk mengalami penyakit pundi hempedu.

Hal ini lebih berisiko tinggi dalam kalangan wanita berbanding kaum lelaki.

Para penyelidik mendapati bahawa individu yang mengalami obesiti mungkin mempunyai kadar kolesterol yang lebih tinggi pada hempedu mereka.

Selain itu, individu yang mengalami kegemukan juga mungkin mempunyai pundi hempedu besar yang tidak berfungsi dengan baik.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa, mereka yang mempunyai jumlah lemak besar pada bahagian pinggang lebih cenderung untuk mendapat batu hempedu berbanding mereka yang mempunyai lemak di sekitar pinggul dan paha.

Bahaya kegemukan 10: Apnea tidur

Obesiti juga menyumbang kepada kejadian apnea tidur kerana boleh menyebabkan peningkatan tekanan pada saluran udara atas.

Ini boleh mengakibatkan kegagalan dan penurunan kawalan neuromuskular daripada simpanan lemak.

Deposit lemak ini menyumbang kepada penurunan jumlah paru-paru dan menjadikannya lebih sukar untuk bernafas

Akibat kegemukan 11: Penyakit refluks gastroesofageal

Penyakit refluks gastroesofageal atau ringkasnya GERD juga boleh berlaku disebabkan obesiti.

Peningkatan risiko GERD berkemungkinan disebabkan oleh lemak perut yang berlebihan sekali gus punca tekanan pada perut.

Lemak perut yang berlebihan juga menyebabkan perkembangan hernia hiatal yang seterusnya mengakibatkan aliran balik asid atau perubahan hormon.

Sebagai contoh, adanya peningkatan pendedahan estrogen yang boleh berlaku terhadap individu yang mengalami obesiti.

Kesimpulan

Kini anda telah mengetahui 11 risiko atau komplikasi buruk sekiranya mengalami obesiti.

Amalkan gaya hidup sihat dengan merancang pelan pemakanan dan bersenam untuk menurunkan berat badan anda.

Berat badan ideal ternyata menjauhkan anda daripada pelbagai risiko penyakit.

Sumber: HelloDoktor

Nurul Nabila