China sebelum ini dilaporkan telah membina sebuah pangkalan tentera ‘rahsia’ di sebuah kawasan padang pasir terpencil di Lop Nur, wilayah Xinjiang, beratus-ratus batu dari bandar terdekat.
Tapak berkenaan yang dinamakan sebagai Chinese Area-51 itu pada awalnya merupakan kawasan tasik garam yang telah kering.
‘Penemuan’ tapak pangkalan tentera penuh misteri itu pernah terbongkar dan tersebar di internet ketika 2016 lalu dan ketika itu, hanya kelihatan landasan dan belum terdapat sebarang pembinaan.
Bagaimanapun baru-baru ini, tinjauan satelit mendapati tapak itu sudah semakin membesar dengan berpuluh-puluh blok bangunan dipercayai sedang dalam pembinaan di atas landasan sepanjang tiga batu.
Penemuan pembinaan bangunan di kawasan tersebut sekaligus menarik pemerhatian yang lebih mendalam daripada pakar.
“Saya rasa kita memerhatikan sesuatu yang kelihatan seperti kemudahan yang cukup penting untuk aktiviti ruang ketenteraan China yang nampaknya terus berkembang,” kata Ankit Panda, seorang senior di Carnegie Endowment for International Peace.
Kredit: NPR
Difahamkan, kawasan itu sebelum ini merupakan lokasi ujian pelepasan bom nuklear milik China, namun pakar berpendapat bahawa China menggunakannya untuk melancarkan dan mendarat pesawat angkasa tentera.
“Ia digunakan sebagai platform eksperimen, sesuatu yang membawa eksperimen ke ruang angkasa dan kemudian sebahagian besar membawanya kembali ke kem supaya anda dapat memperbaikinya, memperbaikinya dan melancarkannya lagi,” kata Jonathan McDowell, ahli astronomi Astrophysics Harvard dan Smithsonian.
Pesawat ruang angkasa itu juga dikatakan mirip dengan pesawat rahsia X-37B yang digunakan oleh tentera AS.
Selain itu, berdasarkan imej yang dipaparkan Maxar, didapati tapak ketenteraan itu dipercayai mula aktif dibina sejak musim panas pada tahun lalu.
Malah felo kanan Carnegie Endowment for International Peace, Ankit Panda berpendapat, landasan tentera gergasi di tengah-tengah tanah gersang itu mungkin akan sibuk dengan pesawat-pesawat terbang paras tinggi, dron, pengembom berpotensi dan bermacam-macam lagi pesawat eksperimen.
Namun begitu, China enggan mengulas mengenai perkembangan tapak berkenaan. Tetapi, negara itu dilapor semakin giat dalam menjalankan kajian serta eksperimen angkasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain mendarat kapal angkasa di bulan dan Marikh, China juga mempunyai stesen angkasa mereka sendiri di orbit tetap di sekitar Bumi.
Pangkalan tentera yang menimbulkan misteri ini mungkin boleh menjadi bukti bahawa selepas ini lebih banyak yang akan diterokai oleh China di angkasa lepas.