Siakap Keli
Gambar: Detikfood.com

Mufti WP Perjelas Status Hadis ‘Ganjaran Kepada Isteri Yang Sediakan Makanan Buat Suami’

Rumah tangga yang harmoni menjadi impian setiap pasangan suami dan isteri, baik yang baru mahupun sudah lama berkahwin. Hubungan yang baik, mesra dan bahagia memerlukan usaha oleh kedua-duanya iaitu dengan saling bertanggungjawab dan menjaga hak suami dan isteri.

Salah satu tanggungjawab isteri di rumah adalah seperti memastikan rumah sentiasa bersih, menyediakan makanan dan pakaian buat suami dan sebagainya. Namun, suami juga bertanggungjawab untuk melengkapi keperluan isteri dan memastikan kebahagiaan rumah tangga sentiasa terjaga.

Walau bagaimanapun, ada sebuah status hadis berkenaan ganjaran daripada tanggungjawab isteri kepada suami yang masih menjadi keraguan masyarakat buat masa ini. Sehubungan itu, Mufti Wilayah Persekutuan ada memberi penjelasan mengenai status ini agar masyarakat mendapat kefahaman yang lebih baik mengenainya.

Ikuti penjelasannya di bawah.

Soalan

Assalamualaikum, boleh tolong semakkan hadith ini sama ada sahih atau palsu?

Rasulullah SAW bersabda: “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya adalah lebih baik daripada isteri itu mengerjakan haji dan umrah”. HR Anas bin Malik Jazakallah.

Ringkasan Jawapan

Hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Namun, terdapat banyak hadis lain yang menceritakan keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik.

Huraian Jawapan

Terdapat banyak keutamaan dan ganjaran bagi seorang isteri jika dia mentaati dan melayani suaminya dengan baik. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. Riwayat Ibn Hibban (4163)

Bahkan, isteri yang solehah dapat menggembirakan suaminya kerana jika si suami melihatnya maka akan menyenangkan hatinya. Hal ini sebagaimana yang disebutkan di dalam suatu hadis, Nabi SAW bersabda:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” Riwayat Abu Daud (1664)

Begitu juga Nabi SAW menyebut berkenaan empat perkara yang menjadi kebahagiaan seseorang lelaki, iaitu:

اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ

Maksudnya“Wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas/lapang, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa.” Riwayat Ibn Hibban (4031)

Selain itu, Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Maksudnya: Seorang isteri adalah pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan akan dipertanggungjawabkan atas urusan rumah tangganya. Riwayat al-Bukhari (893)

Namun, hadis yang menyebutkan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah tidak dijumpai teks asalnya dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar.

Kesimpulan

Terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak dijumpai teks hadis yang menceritakan tentang seorang isteri yang menyediakan makanan kepada suaminya adalah lebih baik daripada seorang isteri itu mengerjakan haji dan umrah sebagaimana yang tersebar dalam kalangan masyarakat. Wallahua’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Nurul Nabila

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.