Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Harga ‘Black Thorn’ Boleh Cecah Lebih RM500 2kg, Ini Punca Durian Duri Hitam Mahal

Musim buah adalah waktu paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia setiap tahun. Bila masuk je musim buah, maka banyak kita lihat penjaja-penjaja menjual buah di merata tempat. Antara yang menjadi buruan setiap tahun sudah pastilah raja buah iaitu durian.

Meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun harga durian tidak terjejas malah terus naik.  Dapat disaksikan durian duri hitam (black thorn) merekodkan harga paling tinggi setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohamad Mustahapa Awang berkata kepada Kosmo, pada masa ini harga runcit purata durian duri hitam adalah RM86 sekilogram diikuti musang king, RM61.65 sekilogram.

“Berdasarkan harga purata menyaksikan durian duri hitam naik kepada RM86 pada Jun tahun ini berbanding RM68 pada Jun tahun lalu.

“Dengan harga ini, tiga biji durian duri hitam yang berat sebiji dua kilogram mencecah lebih RM500,” kata Mustapha.

Faktor harga black thorn tinggi

Menurut Mustahapa, antara faktor durian itu harganya tinggi adalah kerana ia tidak banyak pengeluaran.

“Kebun besar yang menghasilkan durian duri hitam pada masa ini hanyalah di Kulim Bandar Baharu, jadi ramai yang ingin mencubanya,” katanya.

Tambah Mustahapa, berdasarkan pemerhatiannya, bentuk buah durian duri hitam yang sempurna membuatkan ia nampak cantik dan menjadi pilihan ramai.

Harga musang king turut naik

Memetik laporan Kosmo, durian musang king yang berada di tempat kedua merekodkan harga purata RM61.65 sekilogram pada Jun tahun ini berbanding RM46 pada Jun tahun lalu.

“Sehingga Jun lalu durian udang merah berada di tempat ketiga dengan harga purata RM40.50 sekilogram.

“Diikuti durian IOI (RM33.95), durian D24 (RM32.80) dan durian kampung dengan harga purata RM17.60 sekilogram,” kata Mustahapa.

Dalam pada itu, beliau berkata, harga raja buah itu juga bergantung kepada pengeluaran di satu-satu kawasan yang me­nyaksikan harga akan turun sekiranya berada di puncak pengeluaran.

Harga belum capai tahap maksimum

Meskipun berlaku kenaikan harga berban­ding tahun lalu, namun menurut Mustahapa, harga raja buah itu dilihat masih belum mencapai tahap maksimum dan permintaan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan pemerhatian saya di Raub baru-baru ini, saya lihat harga buah durian musang king tidaklah tinggi sangat apabila dijual dengan harga RM35 sekilogram.

“Mungkin di sesetengah tempat yang tidak banyak durian ini harganya akan tinggi.

“Jadi sebagai pengguna kita perlu bijak memilih membeli buah durian yang ditawarkan dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.