Seekor ular sawa besar enggan keluar dari sebuah rumah lalu membalutkan badannya yang sepanjang 15 kaki (4 meter) ke dalam siling, lapor Daily Mail Video.
Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku di Samut Prakan, Thailand apabila dua pakar ular diperlukan untuk mengeluarkan haiwan bersaiz ‘gergasi’ itu.
Mereka dilaporkan telah menghancurkan siling itu untuk menangkapnya tetapi ia ‘berkeras’ untuk keluar, malah kerangka rumah itu menyukarkan pakar ular untuk mengeluarkannya.
Kedua-dua petugas hidupan liar ini akhirnya berjaya menangkap kepala dan ekor ular tersebut, namun terpaksa bertungkus lumus untuk menguruskan ular itu tanpa mencederakannya dan tanpa merosakkan rumah tersebut.
Salah seorang daripada mereka dirakam telah memegang kepala ular itu di satu sudut sementara seorang lagi berusaha untuk menolak keluar ekor ular itu daripada siling. Akhirnya, ia berjaya dikeluarkan sepenuhnya dan pakar ular kemudiannya melepaskan ular itu kembali ke hutan.
Berdasarkan sumber, ular sawa tidak berbisa, jadi gigitannya tidak akan membawa maut. Walau bagaimanapun, ia memburu mangsa dengan cara membelit mangsa sekuat-kuatnya sehingga ia tidak dapat merasakan lagi degupan jantung mangsa.
Kebanyakan ular tidak kira kecil mahupun besar pasti akan muncul di tempat yang tidak disangka-sangka. Ia akan mencari paip atau jurang yang boleh membuatkannya menjalar sehingga membawanya ke kereta, longkang bilik mandi dan tentu saja siling.
Sumber: Daily Mail Video