Siakap Keli

Ramai Geng Teksi Kata Pendapatan Makin ‘Tenat’ Kerana “Lockdown”, Nak Tahu Kerajaan Buat Apa Untuk Bantu?

Siapa sangka, pandemik COVID-19 boleh berlarutan sehingga begini lama. Banyak aktiviti yang biasa kita buat sebelum virus ini menyerang dunia, tak kiralah bersama keluarga mahupun rakan-rakan, kini hanya tinggal kenangan.

Letih juga kalau hari-hari hanya mampu throwback je gambar-gambar lama. Angin bayu laut yang menghembus lembut lama sudah tidak dirasai, menjelajah ke serata pelosok negara terasa semakin sukar untuk diulang semula, pengalaman mencuba makanan baru di setiap negeri kadang-kadang kala mungkin tidak dapat diulangi lagi. Fuhhh, sesak otak bila fikir-fikir balik.

Walaupun ramai daripada kita memahami keperluan pelaksanaan PKP 1.0, 2.0, 3.0 dan kini beralih kepada Fasa-fasa Pelan Pemulihan Nasional yang mengakibatkan sebahagian operasi sektor ekonomi seperti sektor pelancongan terpaksa ditutup, namun impak kepada kumpulan yang terjejas secara langsung memang amat menghibakan.

Kita mungkin sekadar mengeluh tidak dapat bercuti kerana destinasi pelancongan impian kita ditutup, tetapi bagi pemandu teksi dan pemandu pelancong, ia lebih daripada itu. Ia bermakna, periuk nasi mereka terjejas dan kemampuan nak menyara ahli keluarga tergugat. Ada perut yang bakal berlapar & dimasuki angin jika mereka pulang dari kerja dengan tangan kosong nanti.

Tiada ayah dan suami yang sanggup melihat anak dan isteri menderita sebegitu rupa.

Kerajaan bantu apa?

“Kami nak ambil duit kat mana? Nak bagi anak bini kami makan. Anak bini kami kat rumah tunggu kami balik hari-hari.

“Keluar pagi, balik malam, nak dapat seorang penumpang pun susah. Dari tahun lepas hingga tahun ini, keadaan tak banyak berubah pun.

“Kalau takda penumpang, takdala duit kami masuk hari-hari. Kerajaan buat apa nak tolong kami? Lama sangat dah macam ni. Tak tahu sampai bila lagi kami pemandu teksi boleh bertahan,” luah Pakcik Daud, seorang pemandu teksi yang dihimpit pandemik.

Keluhan Pakcik Daud amat menghibakan, kerana itulah realiti yang mereka hadapi ketika ini. Bila difikirkan semula, wajarkah pemandu teksi seperti Pakcik Daud mempersoalkan bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan ketika ini?

Pakej PERMERKASA+ & PEMULIH, Nasib Pakcik Daud & ramai lagi terus dibela

Sebenarnya, banyak sudah bantuan diagihkan oleh kerajaan nak bantu pelbagai golongan yang terjejas susulan pelaksanaan PKP dan bantuan ini berterusan sejak bermulanya PKP 1.0 sehinggalah PKP 3.0. Macam-macam inisiatif telah dilancarkan, antaranya PEMERKASA+ dan PEMULIH yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan baru-baru ini.

Malah, sebenarnya nasib tak berapa baik yang menimpa individu-individu seperti Pakcik Daud inilah yang cuba diperjuangkan oleh kerajaan melalui inisiatif-inisiatif ini.

Lebih ramai rakyat divaksin, lebih cepat kehidupan kembali normal

Salah satu cara terbaik untuk memastikan keadaan kembali pulih seperti sedia kala, supaya orang boleh kembali melancong dan Pakcik Daud ada pelanggan untuk dibawa, adalah dengan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Jadi, dalam inisiatif PEMERKASA+, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM 1 bilion untuk antara lainnya, meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan COVID-19, menampung keperluan operasi termasuklah membeli ubat, reagen untuk saringan serta lantikan pegawai secara kontrak. Selain itu, tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan perubatan lantikan sedia ada juga dilanjutkan sehingga 2022. Kerajaan juga turut melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak.

Ketika ini, pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia secara berfasa melalui 3 fasa sedang berjalan, dan kerajaan akan mempercepatkan PICK di beberapa negeri berkepadatan tinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Dengan vaksinasi kini mencecah 250,000 dos sehari, kerajaan menyasarkan angka berkenaan akan mencapai 400,000 dos sehari pada bulan Ogos akan datang.

Apabila 80% rakyat Malaysia sudah divaksinasi kelak, Pakcik Daud boleh menarik nafas lega kerana dengan izin Allah, kita semua boleh kembali kepada kehidupan normal dan aktiviti ekonomi seperti industri pelancongan yang menjadi medan mata pencarian Pakcik Daud boleh kembali beroperasi seperti biasa.

Bantuan Khas RM 500, Pakcik Daud & kawan-kawan raih manfaat

Kalau PICK tadi tidak memberi impak secara langsung kepada Pakcik Daud, Bantuan Khas RM 500 ini mungkin boleh buat beliau tersenyum lega.

Melalui pakej PEMERKASA + ini, Pakcik Daud dan rakan pemandu teksi yang lain, pemandu pelancong, pemandu bas sekolah, pemandu bas persiaran dan pemandu kereta sewa dan e-hailing akan menerima Bantuan Khas RM 500 seorang secara one-off.

Berbekalkan dana sebanyak RM 68 juta, bantuan ini akan diagihkan selewat-lewatnya pada Julai nanti.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ringan sedikit beban yang digalas bahu Pakcik Daud.

Tapi, bukan itu sahaja bantuan yang Pakcik Daud dapat, ada beberapa lagi bantuan lain yang sedang menanti untuk diagihkan.

BPR Tambahan bernilai RM 2.1 bilion untuk 8.4 juta penerima

Untuk 2021, kerajaan telah pun menyediakan peruntukan untuk diagihkan kepada rakyat melalui 3 fasa Bantuan Prihatin Rakyat sebanyak RM 7 bilion. Bagi Fasa 1 dan Fasa 2, bayaran sudahpun dibuat melibatkan jumlah sebanyak RM 4.6 bilion, manakala baki RM 2.4 bilion lagi akan dibuat pada Fasa 3 yang dijadualkan pada September ini.

Tetapi, susulan pengisytiharan total lockdown ataupun PKP 3.0, kerajaan membuat keputusan untuk memberikan BPR Tambahan dibawah PEMERKASA + bernilai RM 2.1 bilion lagi. Secara keseluruhan, peruntukkan untuk BPR 2021 meningkat daripada RM 7 bilion kepada RM 9.1 bilion.

Untuk Pakcik Daud dan rakyat Malaysia yang lain, pertambahan peruntukan ini adalah satu berita baik.

Selain bayaran Fasa 3 yang dibuat pada September ini, Pakcik Daud juga akan turut menerima BPR Tambahan yang akan diterima pada akhir Jun atau awal Julai.

Jika Pakcik Daud dalam kategori pendapatan isi rumah RM 2,500 dan ke bawah, beliau akan mendapat BPR Tambahan sebanyak RM 500. Untuk BPR Tambahan bagi kategori lain, anda boleh rujuk infografik dibawah.

Bantuan Khas COVID-19, inisiatif PEMULIH untuk kumpulan rentan

Tak terhenti setakat BPR, kerajaan turut menambah lagi bantuan baru iaitu Bantuan Khas COVID-19 yang diperkenalkan dalam pakej PEMULIH.

Dengan dana sebanyak RM 4.6 bilion, sebanyak 8.4 juta penerima kategori B40 dan 3.0 juta penerima kategori M40 akan menerima manfaat.

Terdapat tiga kategori penerima iaitu Miskin B40, B40 & M40 yang masing-masing dibahagikan kepada dua kelayakkan iaitu Isi Rumah dan Warga Emas Sebatang Kara/Bujang.

Mereka di dalam Kategori Miskin B40 Isi Rumah, akan menerima RM 1,300 yang akan dibayar pada Ogos (RM 500), November (RM 500) dan Disember (RM 300). Manakala bagi Warga Emas Sebatang Kara/Bujang pulak akan menerima RM 500 yang akan dibayar pada Ogos (RM 200) dan November (RM 300).

Seterusnya Kategori B40 Isi Rumah akan menerima sebanyak RM 800 yang dibayar pada Oktober (RM 500) dan Disember (RM 300). Bagi Warga Emas Sebatang Kara/Bujang akan menerima RM 200 yang dibayar pada Oktober.

Manakala Kategori M40 Isi Rumah pula akan menerima RM 250 yang dibayar pada Oktober serta Warga Emas Sebatang Kara/Bujang menerima RM 100 yang juga dibayar pada Oktober.

Moratorium 6 bulan, kelulusan tanpa syarat, tanpa faedah terkompaun & tanpa penalti

Tak lupa juga, jika Pakcik Daud mempunyai komitmen dengan pihak bank seperti pinjaman peribadi dan sebagainya, ada berita baik lain nak dikongsikan kali ini.

Dibawah PEMULIH, pakej moratorium telah ditambah baik dan menggantikan pakej yang diumumkan dalam PEMERKASA+ sebelum ini.

Moratorium yang diberikan adalah TANPA SYARAT dan kelulusan adalah Automatik untuk kedua-dua jenis peminjam iaitu peminjam peribadi dan peminjam perusahaan. Semua kategori B40, M40 & T20 layak memohon termasuk Perusahaan Mikro dan PKS yang terjejas.

Sekali lagi ditegaskan, syarat kelulusan seperti bukti pengurangan pendapatan dan kehilangan pekerjaan atau syarat pinjaman bawah RM 150k untuk usahawan mikro sudah dihapuskan dibawah pakej baru ini. Hanya kelulusan bagi peminjam kategori PKS yang terjejas sahaja tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

Apa yang peminjam kena buat hanyalah menandatangani dokumen pindaan syarat-syarat peminjam yang berkaitan dengan pihak bank. Ada yang tanya, kalau tiada apa-apa syarat, kenapa nak kena tandangan dokumen perjanjian dengan bank pulak?

Jawapannya kerana apa-apa variasi kontrak/perjanjian perlu dimeterai dengan tandangan agar ia sah di sisi undang-undang. Itu sahaja, langsung tak membebankan pun.

Secara keseluruhan, terdapat 8 pakej-pakej ransangan ekonomi diumumkan sejak Mac 2020 termasuk yang terkini adalah PEMULIH, yang keseluruhan mencecah RM 530 bilion, tidak termasuk Belanjawan 2021 bernilai RM 322.5 bilion yang disediakan oleh kerajaan.

PPN, road map untuk rakyat dan perniagaan beralih keluar dari pandemik COVID-19

Berbalik kepada pakej PEMULIH, bantuan-bantuan yang disediakan merangkumi tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang baru dilancarkan. Dibawah pelan ini, terdapat empat fasa yang digarap untuk memastikan negara bebas dari kemelut pandemik COVID-19.

Peralihan Fasa-fasa dalam PPN ini akan dibuat mengikut purata kes harian baharu, tahap penggunaan katil di ICU dan jumlah peratusan populasi yang divaksin.

Dengan adanya PPN ini, rakyat Malaysia, para pelabur dan peniaga dapat membuat perancangan yang lebih baik apabila Malaysia beralih ke fasa berikutnya.

Dalam PPN juga, turut dinyatakan dengan jelas sektor-sektor ekonomi dan sosial yang dibenarkan beroperasi semula apabila nilai ambang tertentu dicapai.

Jadi, usah risau. Kepada Pakcik Daud dan ramai lagi diluar, pelbagai bantuan akan terus disalurkan oleh kerajaan untuk anda semua.

Semoga pandemik ini segera pergi dan kita semua dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web dan Facebook, Instagram dan Twitter Kementerian Kewangan Malaysia.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.