KUALA LUMPUR, 7 Julai – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah seorang tokoh berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan, dengan pernah menjawat beberapa jawatan Menteri termasuk sebagai Menteri Kanan.
Beliau hari ini dilantik untuk menduduki kerusi nombor dua pentadbiran kerajaan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain kekal memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.
Naib Presiden UMNO berusia 61 tahun itu menganggotai barisan Jemaah Menteri sejak 2008 sehingga 2018, sebelum kembali semula pada Mac tahun lepas, selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebagai menteri kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan, beliau sering muncul bagi mengumumkan perkembangan baharu inisiatif dan langkah-langkah kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.

Sebelum ini, Ismail Sabri pernah memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008 hingga April 2009, sebelum beralih kepada tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada April 2009.
Pada Mei 2013 hingga Julai 2015, beliau dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum berlakunya rombakan Kabinet yang menyaksikan beliau kemudiannya memegang tugas sebagai Menteri, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Antara inisiatif terkenal yang dilaksanakannya ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani termasuklah ‘jihad memerangi orang tengah’, selain memperkenalkan inisiatif ‘MARA Digital’, supaya golongan Bumiputera tidak ketinggalan dalam perniagaan dalam bidang teknologi komunikasi maklumat, ketika menggalas tugas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Keluarga Dan Pendidikan Awal
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Malaya (UM), Ismail Sabri memulakan karier sebagai peguam pada 1985 selain pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datin Sri Muhaini Zainal Abidin pada 1986 dan dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang perempuan.
Langkah Mula Dalam Politik
Beliau mula bergiat aktif dalam politik pada 1987 sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh, sebelum dilantik Ketua Penerangan bahagian setahun kemudian sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Temerloh pada 1993.
Pada 1995 beliau bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan (ketika itu) Datuk Sabaruddin Chik, sebelum memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh dan tiga tahun kemudiannya sebagai Ketua UMNO bahagian itu pada 2001.
Portfolio Dalam Politik
Pada Mac 2004, beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) untuk kerusi Parlimen Bera dan menewaskan Ab Wahab Ismail dari PAS dengan majoriti 4,470 undi, manakala PRU ke-12 pada Mac 2008 juga menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Aliman, juga dari PAS dengan majoriti 3,821 undi.
Pada Ogos 2008, beliau memegang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan pada Mac 2009, beliau terpilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO penggal 2008/2011 sebelum sekali lagi pada penggal 2013/2016.
PRU ke-13 pada Mei 2013 dan PRU ke-14 pada Mei 2018, pula menyaksikan beliau terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera dalam pertandingan tiga penjuru apabila menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR dan calon Bebas dalam kedua-dua pilihan raya itu.
Pada Julai 2018, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021 dan pada 2018 sehingga Mei 2019, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
Pada Mac 2018 pula beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, dan kini beliau menjawat kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018/2021.
— BERNAMA