Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Seperti biasa, Siakap Keli akan bertukar jadi Siakap Keliwon untuk ‘menemani’ malam korang dengan cerita-cerita seram.
Korang mesti tahu, di dunia ini terdapat banyak amalan serta kepercayaan tertentu tentang seruan memanggil makhluk halus.. atau bahasa manjanya, hantu.
Banyak cara yang digunakan dan apa yang kita nak tahu pada malam ini, cara-cara orang Indonesia menyeru hantu menggunakan teknik tertentu.
Tak nak cakap banyak, jom kita baca tiga cara di bawah ini. Boleh ‘cuba’ mana tahu berkesan!
1. Jelangkung

Difahamkan, jelangkung masih menjadi ritual memanggil hantu yang paling banyak diamalkan oleh orang Indonesia. Malah turut dikatakan, ritual ini memang berasal (asli) dari sana.
Caranya, korang kena buat dua patung daripada dua kayu berukuran kecil, tempurung kelapa, tali, kain kapan dan segenggam tanah kubur. Tanah ‘segar’ lagi elok.
Manakala cara ‘memanggilnya’ pula, korang kena buat dengan kawan-kawan. Letakkan patung itu di tengah-tengah bulatan anda semua. Sambil baca mantera ‘menyeru’, nantikan patung itu akan bergerak sendiri.
Kalau rasa-rasa nak berborak dengan patung tu, sediakan sekali kertas dan pensel di sebelahnya. Dia boleh tulis (balas) jawapan yang korang tanya melalui kertas itu.
2. Papan Ouija

Walaupun upacara seruan ini dikatakan berasal dari Eropah, tapi ada juga orang Indonesia yang mempercayainya. Ouija merupakan papan permainan yang mempunyai 26 huruf, angka 0 hingga 9 dan ‘Ya’ atau ‘Tidak’.
Syarat untuk bermain papan ini, korang dan kawan-kawan mestilah mencari rumah kosong yang tidak berpenghuni. Cara bermainnya pula, letakkan petunjuk (biasanya berbentuk segi tiga & berlubang) di atas papan Ouija, nyalakan lilin di sebelahnya.
Agak-agak sudah bersedia, setiap orang kena letakkan jari telunjuk di atas petunjuk. Kemudian gerakkan petunjuk itu dalam keadaan berpusing sambil membaca ‘jampi’ berbunyi; “Spirit, spirit the coin. Spirit, spirit of the coin. Spirit, spirit of the coin. Please come out and play with us!”
Tidak lama kemudian, nanti petunjuk tu akan bergerak-gerak dengan sendirinya sambil menunjuk huruf-huruf tertentu. Seolah-olah ia memberi mesej. Itu tandanya, ‘si dia’ sudah datang.
3. Charlie-Charlie

Ini antara ritual yang mungkin ramai pernah mengalaminya. Korang kena sediakan sehelai kertas kosong yang dibahagikan kepada empat bahagian. Setiap bahagian perlu ditulis ‘Yes’,’No’ serta perlu sediakan dua batang pensel.
Tindihkan kedua-dua pensel itu betul-betul di atas titik tengah garisan yang membahagikan kertas tersebut dan pastikan ianya seimbang. Agak-agak sudah bersedia, korang boleh mula baca;
“Charlie, Charlie, adakah kau berada di sana? Charlie, Charlie, adakah kau memang ada? Charlie,Charlie, bolehkah kita berbual?”
Kalaulah ‘seruan’ itu berjaya memanggilnya, maka pensel tadi akan bergerak / berpusing kepada arah ‘Yes’ atau ‘No’ sebagai jawapan. Menurut kepercayaan mereka, korang boleh untuk tanya apa-apa saja kepada ‘si dia’.
Malah kalau rasa sudah selesai bermain, korang kena tanya “Charlie, Charlie, bolehkah kami habiskan main?”. Katanya kalau yang datang tu jenis ‘roh jahat’, jawapannya mungkin akan ‘No’, tandanya tidak bagi korang berhenti.
Jadi kalau ‘si dia’ tak bagi berhenti, apa yang kena buat? Jawabnya kena cepat-cepat patahkan pensel tadi dan bakar segera kertas itu.
Begitulah tiga ritual penyeruan hantu yang dipercayai diamalkan oleh sebahagian orang Indonesia. Mungkin ada banyak lagi, tapi biarlah kita tahu yang ‘ringan-ringan’ saja, ianya sudah memadai.
Peringatan, tulisan ini hanyalah sekadar bahan bacaan ringan di malam hari. Korang dinasihatkan untuk tidak meniru apa yang korang sudah baca. Ini semua syirik dan dilarang di sisi agama Islam.
Nak tidur kan..jangan lupa baca ayat Kursi.
Eh, siapa yang pandang tu?