Jika berada di hutan, kita perlu sentiasa berhati-hati sepanjang melangkah kerana bimbang terpijak tumbuhan istimewa yang hidup di atas tanah.
Mungkin salah satu fauna unik yang wujud di hutan ialah bunga pakma atau Raflesia, namun keberadaannya dapat dilihat dengan jelas kerana saiznya yang besar serta berbau.
Namun macam mana pula bagi tumbuhan yang halus? Inilah dia sejenis tumbuhan spesies unik yang baru ditemui pakar baru-baru ini, iaitu tanglung pari-pari.
Jangan terkejut, saiznya hanyalah sebesar duit syiling 20 sen sahaja. Mari ikuti perkongsian oleh pakar botani Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Siti Munirah Mat Yunoh di bawah ini.
Jaga langkah anda, jangan terpijak ‘tanglung pari-pari’ dalam hutan

Bagi mereka yang selalu mendaki gunung dan menikmati suasana dalam hutan, pernahkah anda perhatikan tumbuhan kecil seumpama tanglung pari-pari di denai hutan?
Tanglung pari-pari (fairy lantern) dengan nama saintifik Thismia spp. merupakan tumbuhan berbunga (angiosperma) kecil yang tumbuh di tanah kawasan berhutan. Ia tidak menjalankan fotosintesis malah mengamalkan hubungan simbiosis dengan kulat yang membekalkan makanan (habit mikoriza).
Baru-baru ini, pakar botani FRIM, Siti Munirah Mat Yunoh bersama Dr. Chris Thorogood, penyelidik University of Oxford Botanic Garden and Arboretum serta Suzairi Zakaria yang lebih dikenali sebagai Dome Nikong, penyelidik bebas yang juga jurugambar profesional telah bekerjasama menerbitkan spesies baharu yang dijumpai di Hutan Simpan Hulu Nerus, Terengganu.
Spesies tersebut telah dinamakan ‘Thismia sitimeriamiae’, sempena nama ibu Dome (Puan Siti Meriam) yang banyak mendorong dan menyokong kerjaya beliau dalam pemuliharaan spesies terancam di Terengganu.


Sehingga hari ini, terdapat 39 spesies Thismia dijumpai di Malaysia (16 di Semenanjung Malaysia). Siti Munirah juga telah menerbitkan beberapa spesies baharu, iaitu Thismia belumensis, T. domei, T. terengganuensis dan T. kelantanensis.
Berdasarkan garis panduan Senarai Merah IUCN, kesemua spesies baharu yang diterbitkan kebelakangan ini adalah spesies tanglung pari-pari tergolong dalam kategori terancam (threatened species). Ini adalah kerana, status habitatnya yang sensitif kepada sebarang gangguan dan aktiviti manusia ataupun haiwan.
Pemuliharaan biodiversiti dalam negara kita sangat penting kerana terdapat khazanah yang masih belum dijumpai atau diberikan nama oleh saintis.
Penemuan spesies baharu menunjukkan kepentingan aktiviti penyelidikan biodiversiti yang perlu diteruskan dengan lebih rancak lagi seiring dengan usaha pemeliharaan hutan kita demi kelestarian khazanah biodiversiti negara.
Info: Siti Munirah Mat Yunoh
Pix: Siti Munirah & Dome Nikong




Sumber: FRIM