Siakap Keli

Macam Cerita ‘Prison Break’, Kisah 3 Banduan Lolos Dari Penjara Alcatraz Pada 1962 & Terus Hilang Tanpa Jejak

Kalau anda jenis suka layan cerita jenayah, mesti tak ‘terlepas’ tonton rancangan TV bersiri ‘Prison Break’ kan? Satu-satunya cerita tentang bagaimana banduan menjalankan misi penting melarikan diri dari penjara.

Sebut tentang penjara, tahukah anda tentang penjara Alcatraz yang terletak di sebuah pulau berhampiran perairan San Fransisco? Penjara ini cukup terkenal dengan kes-kes banduan yang mempunyai latar belakang jenayah berprofil tinggi.

Namun mungkin ramai yang tidak tahu, keampuhan penjara Alcatraz pernah ‘runtuh’ satu ketika dahulu apabila tiga banduannya berjaya meloloskan diri dengan sebuah  perancangan yang cukup-cukup rapi. Jom baca kisah benar di bawah ini.

Misi bermula

Dari kiri: John, Clarence & Frank | Gambar: FBI History

Pada pagi 12 Jun 1962, seperti biasa warden penjara akan menjalankan rutin memeriksa setiap bilik banduan. Namun mereka dapati, tiga banduan daripadanya ‘hilang’, tiada di sel masing-masing.

Tiga banduan tersebut ialah John Anglin, adiknya Clarence serta rakan mereka, Frank Morris. Bagaimanapun mereka bertiga amat licik. Bagi mengelakkan dikesan, mereka ‘gantikan’ badan mereka di katil dengan rekaan kepala tiruan yang diperbuat daripada plaster, cat dan rambut manusia sebenar.

Kehilangan mereka bertiga memeranjatkan pihak penjara. Lantas penjara Alcatraz dikenakan perintah berkurung serta-merta dan siasatan pun bermula.

Kepala patung sebagai ‘pengganti’ di katil | Gambar: FBI History

Jumpa petanda

Kes kehilangan tiga banduan itu diterima Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di San Fransisco. Semua rekod mereka diperiksa. Dalam masa sama, FBI juga turut menyoal siasat ahli keluarga serta saudara mereka dan mengumpulkan rekod pengenalan diri.

Bagi mengesan sebarang jejak tinggalan di perairan, pihak pengusaha bot di pantai yang tidak jauh dari Alcatraz juga diminta untuk mencari serpihan-serpihan tertentu (berkemungkinan bot yang pernah digunakan suspek).

Setelah dua hari mencari di sekitar lokasi, pihak FBI menemui sebungkus surat yang ditutup/diikat dengan getah. Difahamkan bungkusan surat misteri itu dipercayai ada kaitan dengan ketiga-tiga banduan terbabit.

Selain itu, FBI juga menemui beberapa kepingan kayu seperti pendayung sampan dan potongan tiub getah yang berada di dalam air. Bahkan, pelampung keselamatan diri juga turut ditemui terdampar di Pantai Cronkhite, tidak jauh dari Alcatraz.

Bagaimanapun tidak banyak petanda berkaitan yang berjaya ditemui.

Misi mencari & kronologi dikenal pasti

Menyedari usaha menjejaki mereka semakin sukar, FBI mempertingkatkan lagi usaha mengesan banduan lolos tersebut. Kerjasama misi mencari besar-besaran dibuat dengan bantuan bersama pengawal pantai dan penguatkuasa penjara.

Malah, seorang banduan yang dipercayai cuba mengikuti mereka tetapi gagal juga turut dijadikan sumber maklumat. Hasil siasatan selama beberapa hari, FBI mendapati kehilangan tiga banduan itu dapat dikaitkan dengan kronologi berikut:-

1) Rancang tujuh bulan awal. Kumpulan banduan tersebut telah mula merancang untuk lari dari Alcatraz sejak Disember tahun sebelumnya, kira-kira tujuh bulan awal. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa bilah gergaji lama di sel mereka, dipercayai digunakan dalam misi ini.

2) Tebuk dinding belakang sel. Mereka menggunakan beberapa alatan tajam dan kasar, termasuklah gerudi buatan sendiri yang diperbuat daripada motor pembersih vakum yang sudah rosak. Caranya, mereka menebuk lubang di sekitar penutup laluan udara di belakang sel menggunakan gerudi.

Setelah berjaya menebuk, lubang itu ditutup kembali dengan beg pakaian, sekeping kadbod dan lain-lain supaya bersedia untuk ‘digunakan’ pada misi melarikan diri.

Dinding lubang udara yang ditebuk | Gambar: FBI History

3) Bina bengkel rahsia. Di belakang sel terdapat kawasan utiliti yang tidak dijaga. Mereka keluar dari lubang, berjalan menyelusuri koridor dan memanjat ke atas bumbung bangunan tersebut. Di atas sanalah mereka mendirikan sebuah bengkel rahsia.

Di bengkel itu, mereka akan mengawasi pergerakan pengawal penjara secara bergilir-gilir. Selain itu, bengkel itu menjadi gudang simpanan bagi segala barangan yang dicuri dari sekitar kawasan penjara. Kesemuanya dipercayai sebagai alat untuk misi melarikan diri.

Antara benda yang mereka curi ialah 50 helai baju hujan yang ‘diubah’ menjadi baju keselamatan dan rakit getah (rubber raft) berukuran 6 x 14 kaki. Kesemuanya dijahit semula dan di’pateri’kan oleh wap panas dari infrastruktur penjara.

Idea itu dikatakan datang daripada majalah yang terdapat dalam sel tahanan. Selain itu, mereka juga membina dayung kayu dan mengubah sejenis alat muzik menjadi alat untuk mengembangkan rakit tersebut.

Bengkel rahsia yang jadi ‘port’ buat projek | Gambar: FBI History

4) Jalan keluar. Untuk keluar dari bangunan itu dari arah atas bumbung, mereka memerlukan laluan rahsia yang tidak dapat dikesan. Justeru mereka memanjat rangkaian paip menuju ke siling setinggi 30 kaki sebelum tiba dan keluar dari bahagian ventilator.

Akhirnya pada malam 11 Jun 1962, misi pun bermula. Mereka bergerak seperti yang dirancang dengan melalui koridor sambil membawa peralatan misi, memanjat rangkaian paip untuk naik ke ventilator di atas siling dan keluar.

Kemudian, mereka turun menuju ke belakang bangunan sel, memanjat pagar dan bergerak ke arah utara pulau hinggalah ke langkah terakhir, mereka melancarkan rakit buatan mereka dan menuju ke perairan.

Namun berbalik kepada isu utama, ‘pemergian’ mereka dari pulau tersebut tidak meninggalkan sebarang jejak. Tiada bahan bukti dapat ditampilkan apabila siasatan dilakukan di pantai-pantai berdekatan.

Rangkaian paip yang dipanjat untuk ke siling | Gambar: FBI History
Laluan keluar di bumbung melalui penutup ventilator | Gambar: FBI History
Laluan ke utara pulau & dipercayai tempat rakit dibuka | Gambar: FBI History

Kehilangan yang misteri

Bagaimanapun misi ini mencetuskan tanda-tanya kerana tiada sebarang jejak dapat dikesan di sekitar pantai berhampiran. FBI sendiri tidak dapat mengenal pasti adakah mereka berjaya menyeberangi teluk tersebut? atau berjaya ke Pulau Angel, melalui Raccoon Strait untuk ke Marin County seperti yang dirancang?

FBI optimis untuk mempersoalkan usaha misi mereka; adakah mereka mampu bertahan untuk menyeberangi laut yang luas hanya menggunakan rakit buatan? Terdapat banyak teori yang digarap, antaranya:-

1) Rentas laut. Orang muda seperti mereka bertiga mungkin tidak ada masalah untuk berenang jauh dari Alcatraz ke Pulau Angel. Tapi dengan keadaan arus ombak yang kuat serta suhu sejuk, ianya agak mustahil untuk mereka.

2) Kerjasama keluarga. Jika pelarian mereka benar-benar ‘dibantu’ keluarga, teori ini agak samar. Difahamkan ahli keluarga mereka tidak mampu untuk membantu ‘menjayakan’ misi ini kerana masalah kekurangan wang.

3) Hilang tanpa dikesan. Selama 17 tahun kes ini disiasat, FBI langsung tidak menjumpai sebarang bukti kukuh yang menunjukkan tiga banduan ini ‘berjaya’ dan masih hidup, sama ada di AS atau negara lain.

Gara-gara terlalu sukar untuk dikesan, akhirnya pada 31 Disember 1979 setelah 17 tahun, kes ini secara rasminya ditutup. Tiga banduan Alcatraz yang berjaya meloloskan diri pada malam 11 Jun 1962 namun hilang tanpa kesan telah menjadi sejarah misteri dalam dunia jenayah AS.

Walaupun ‘kejayaan’ mereka mencetus tanda-tanya, namun perancangan rapi untuk keluar dan lolos dari penjara memang sangat menakjubkan. Pendek kata, kes mereka umpama cerita Prison Break versi sebenar.

Sumber: FBI History

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.